UKM Menjalankan Kajian Saintifik Di Underwater World Langkawi
Laporan dan Foto oleh Saiful Bahri Kamaruddin
LANGKAWI, 4 Jun 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan kajian santifik dan kajian di Underwater World Langkawi Sdn Bhd (UWL), pusat pelancongan bertemakan hidupan laut di sini.
Suatu Memoradum Persefahaman (MoU) membolehkan kajian itu telah ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Underwater World Langkawi Sdn Bhd (UWL), Puan Sri Fadzilah binti Md Ariff di sini hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli turut menandatanganinya.
Matlamatnya ialah untuk terus membangunkan Langkawi sebagai destinasi pelancong utama dan dengan itu dapat meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
UKM dan LADA akan membantu UWL, syarikat yang memajukan Taman Tema Underwater World, dengan kaedah membawa masuk penyelidik sains dan pakar haiwan untuk membuat kajian dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke Langkawi.
Taman Tema Underwater World terletak di Pantai Cenang, suatu kawasan pantai yang popular. Ia adalah di antara kawasan marin dan akuarium terbesar di Asia Tenggara.
Ia berjaya menarik pelancong dari seluruh dunia dan sehingga kini telah menerima lebih 10 juta orang pelawat, kata Puan Sri Fadzillah.
UWL sekarang memiliki 400 spesis hidupan laut dan baru-baru ini telah menerima dua pasang burung Penguin spesis RockHopper dari Afrika Selatan. Beliau mengalu-alukan penyelidik UKM membuat kajian mendalam antaranya mengenai burung dari Kutub Selatan itu.
Konsep tema Underwater World Langkawi ditumpukan kepada pengetahuan, pendidikan dan hiburan. Ia dapat memberi kesedaran mengenai pemuliharaan hidupan akuatik dan kepentingan hidupan laut kepada manusia.
Underwater World Langkawi ialah satu-satunya destinasi pelancongan yang mempunyai sebuah terowong sepanjang 15 meter yang dikelilingi 500,000 liter air laut dalam mana terdapat banyak ikan besar dan hidupan marin lain. Pelawat-pelawat boleh berjalan dalam terowong itu dikelilingi air dan hidupan laut itu.
Program penyelidikan itu dianjurkan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari (LESTARI) UKM antara usaha pembangunan keseluruhan Langkawi sebagai sebuah GeoPark, suatu pengitirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
LESTARI menjalankan kajiannya itu melalui Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) yang telah giat mengkaji sumber-sumber alam di pulau legenda itu sejak tahun 2003.
GeoPark ialah suatu kawasan geografi di mana warisan alam dilindungi secara holistik bagi memuliharanya secara lestari.
Sebagai sebuah badan penyelidikan LESTARI, PPL berikhtiar menjalankan kajian melalui penyelidikan bersepadu pelbagai latar belakang dalam empat program utama: geologi dan sumber landskap; biologi dan sumber laut; budaya dan tradisi tempatan serta alam sekitar dan kesihatan .
Selain daripada penyelidikan dalam empat kumpulan teras itu, PPL juga bekerjasama dengan beberapa agensi tempatan dan luar negara, termasuk LADA, Jabatan Galian dan GeoSains, Jabatan Perhutanan, UWL dan UNESCO.
Hasil kajian dari kerjasama ini telah membantu PPL dan LESTARI menyelaras serta menyertai beberapa Ekspedisi Sains.
Sebagai pusat penyelidikan, PPL juga berfungsi sebagai stesen kajian pasca siswazah dan pendidikan. Kini lima orang siswa UKM sedang menyambung penyelidikan pada peringkat PhD dan dua orang lagi di peringkat Sarjana.
Usaha mereka dalam penyelidikan lanjutan akan memberikan hasil tidak ternilai untuk matlamat PPL menambah potensi industri pelancongan di Langkawi.
Sumber asli dan alam sekiar pulau itu juga dilindung demi kepentingan warisan semula jadi. Jurnal dan buku-buku juga diterbit oleh penyelidik PPL, manakala beberapa projek yang dimulakan tahun lalu sedang berjalan.
LADA dan Kerajaan menyokong usaha untuk mengenal pasti tanah dan kawasan pantai di Langkawi untuk pemuliharaan supaya menjadi warisan semula jadi pulau itu.
LADA ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk merancang dan menggalak serta melaksanakan pembangunan di pulau itu.