Kembalinya Seorang Tokoh Wartawan Tan Sri Mazlan Nordin (1925-2012)
JUMAAT, 23 MAC 2012 20:18
Oleh Mohd Safar Hasim
Foto oleh Shahiddan
PETALING JAYA, 23 Mac 2012 – Tan Sri Mazlan Nordin, seorang wartawan ulung negara dan penerima Ijazah Kehormat Kedoktoran UKM telah kembali ke Rahmatullah semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Allahyarham berumur 86 tahun.
Beliau telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum tengah hari tadi. Hadir di rumah anaknya di Petaling Jaya sebelum itu ramai sahabat dan tokoh wartawan lain memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
Dato’ H M Shah, 91 walau pun kelihatan lemah turut hadir kerana sanjungannya kepada Mazlan. Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan bekas Menteri Penerangan; Dato’ A Kadir Jasin, Pengarang Kumpulan Berita Publishing; Dato’ Abdul Rahman Sulaiman, Pengurusi Bernama; Dato Meor Kamarulbaid bin Kamarul Shahid, Pengarang Kumpulan Berita Harian; Dato’ Abdul Jalil Ali, Penasihat Editorial Sinar Harian; P C Shivadas, bekas Pengarang Kumpulan The New Straits Times dan Abdul Jalil Hamid, Pengarang Urusan Kumpulan NST turut hadir.
Dengan pemergiannya, kewartawanan negara telah kehilangan seorang tokoh yang mengabdikan seluruh hayatnya kepada kerjayanya itu selama 62 tahun. Walau pun kesihatannya akhir-akhir ini tidak begitu baik beliau masih terus menulis untuk kolumnya. Malah penulisan terakhirnya akan hanya terbit di Mingguan Malaysia Ahad 25 Mac ini.
Jika kewartawanan negara kehilangan seorang tokoh, UKM kehilangan seorang rakan.
Beliau adalah penulis tamu UKM selama dua kali untuk jangka masa empat tahun, pertama pada 2004 dan kemudian pada 2010. Beliau sentiasanya mengakhiri kolumnya dengan akuan “Karyawan Tamu UKM”.
Beliau dilantik ke jawatan itu di Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sejak lebih satu tahun lalu. Bukunya Tokoh Wartawan Melayu telah diterbitkan oleh Penerbit UKM.
Zainuddin atau Zam dan Kadir mengetahuinya sebagai seorang yang sentiasa menulis artikel yang berimbang dan bernas. Shivadas berkata Mazlan adalah seorang yang baik hati dan tidak mengerunkan kepada pekerja bawahannya dan telah banyak memberikan bimbingan kepada ramai wartawan muda.
Mazlan dilahirkan di Tanjung Malim dan dibesarkan oleh datuknya, Abdullah bin Baginda Seti kerana ayahandanya Nordin bin Abdullah meninggal dunia ketika Mazlan berumur satu tahun. Mazlan telah dipilih melanjutkan pelajaran ke Malay College Kuala Kangsar (MCKK), sekolah elit untuk bakal pemimpin negara. Perang Dunia Kedua menyebabkan pengajiannya di MCKK terhenti manakala kedua belah telinganya dihentak dengan buntut senapang seorang askar Jepun dan pendengarannya terjejas. Kecacatan itu menyebabkan Mazlan tidak dapat meneruskan pengajiannya selepas perang.
Selepas perang, beliau menjadi pembantu di sebuah kedai buku terkenal di Kuala Kangsar, Yahya Ariff & Sons. Di situlah beliau berpeluang membaca akhbar Utusan Melayu dan minat beliau untuk menjadi wartawan lahir apabila melihat orang berbaris membeli akhbar itu. Akhirnya, beliau menyertai Syarikat Utusan Melayu di Singapura sebagai pemberita mulai tahun 1950.
Tidak cukup bekerja dengan Utusan Melayu, Mazlan bekerja sebagai pemberita sambilan akhbar The Singapore Free Press, menulis berita dalam bahasa Inggeris. Sejak itu beliau terus menguasai kedua-dua bahasa itu hingga kini. Menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris baginya tidak ubah seperti itik di air.
Mazlan kemudiannya berjaya mendapat tawaran bertugas dengan Voice of America di New York mulai 1951 selama dua tahun membantu mengelola rancangan Melayu di sana.
Sekembalinya dari New York pada 1953, beliau bekerja kembali dengan Utusan Melayu. Apabila Berita Harian diterbitkan dalam tahun 1956, beliau menyertainya kerana mengikut jejak langkah Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail dan dari situ dilantik menjadi Ketua Pengarang Bernama yang pertama pada tahun 1971.
Sebagai Ketua Pengarang Bernama (1971–1973) beliau telah menubuhkan Meja Ekonomi dalam bahasa Melayu dan Inggeris bagi para pelanggan Bernama. Langkah ini menolong media cetak dan elektronik untuk menyiarkan lebih banyak berita ekonomi dan perniagaan khususnya akhbar Melayu yang waktu itu tidak mempunyai halaman khas untuk berita ekonomi.
Mazlan kemudian kembali ke Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan syarikat itu pada 1973 dan bertugas di situ selama 10 tahun. Antara lain tugasnya ialah menulis kolum “Awang Selamat” di akhbar Mingguan Malaysia. Di akhir kerjayanya di Utusan, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan sehingga tahun 1986.
Semasa itu beliau telah berjaya meningkatkan pengedaran Mingguan Malaysia sehingga 400,000 naskah, satu angka tertinggi yang julung kali dicapai oleh sebuah akhbar di Malaysia ketika itu.
Beliau juga pernah manyandang jawatan pengerusi Institut Akhbar Malaysia selama lebih 15 tahun, Pengerusi Bernama (1987-1996) dan Pengerusi Asian Institute for Development Communication (AIDCOM) dari 1993 dan pernah menjadi Pengurusi the Press Foundation of Asia pada 2002.
Antara anugerah yang diterimanya termasuk Ahli Mangku Negara (AMN), Johan Mangku Negara (JMN), Dato’ Paduka Mahkota Perak dan pada tahun ini dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.
Beliau juga menerima Anugerah Asean, oleh Asean Culture and Information Committee, 1987. Wartawan Cemerlang, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PMW) 1996 dan Tokoh Wartawan Negara (2001).
Beliau adalah seorang penulis yang gigih antaranya kolum “Awang Selamat (1970–1983), penulis kolum Asiaweek (1977–1983), penulis kolum New Straits Times “Personally Speaking” (1989–2001), penulis kolum The Sun (dua minggu sekali) dari 2002, Mingguan Malaysia dari 2002 Utusan Melayu Mingguan (2003 – 2004). Ketika ramai penulis lain sudah berehat, Mazlan terus menulis.