Sokongan Untuk Ibu Bekerja

RABU, 28 MAC 2012 18:54

Ncwo1

Foto Shahidan Saidi

PETALING JAYA, 28 Mac 2012 – Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) telah memberi sokongannya kepada usaha Foram Ibu-ibu Bekerja Malaysia (MWMF) menolong ibu-ibu yang terpaksa mengurus keluarga dan kerjaya mereka.

Suatu perjanjian telah ditandatangani di sini hari ini oleh Yang Di Pertua NCWO, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Eksekutif MWMF, Parveen Yassin untuk memantapkan sokongan itu.

Prof Sharifah Hapsah yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata NCWO kagum dengan inisiatif MWMF untuk menyediakan landasan bagi membolehkan ibu bekerja berinteraksi secara talian selain menyediakan laman web, mengadakan tinjauan dan pengundian serta buku penunjuk untuk membantu mereka itu.

“Sebagai sebuah badan penasihat dan pemangkin untuk menyokong kedudukan wanita dan penyertaan mereka dalam pembangunan negara kami melihat banyak potensi yang boleh diusahakan MWMF untuk menolong ibu bekerja mencapai hasrat mereka di tempat kerja dan juga di rumah,” katanya.

Parveen berkata MWMF ditubuhkan awal tahun lalu untuk meningkatkan kesedaran terhadap cita-cita dan harapan ibu yang bekerja. Kaum hawa adalah terdiri dari separuh warga kerja dalam negara ini dan mereka kini telah menjadi suatu kuasa bekerja.

Malangnya ramai pula diantara mereka terpaksa berhenti bekerja kerana tidak wujudnya sistem sokongan kepada mereka di tempat kerja hingga menjadi cabaran ketara untuk mengimbangi kehendak tempat kerja dan keluarga.

Maka itu MWMF telah ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi ibu-ibu yang bekerja dengan mengadakan usaha menyediakan sokongan secara talian kepada mereka, kata Parveen.