UKM Terima Dana RM4 Juta Untuk Tubuhkan Kursi Kepimpinan Wanita

JUMAAT, 30 MAC 2012 00:00

KursiKW1

Oleh Nastura Nasir
Foto Ikhwan Hashim, Penerbit UKM

PUTRAJAYA, 30 Mac 2012 – Hasrat kerajaan mewujudkan Kursi Kepimpinan Wanita tercapai hari ini apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Matlamat utama penubuhan kursi ini adalah bagi meningkatkan pertumbuhan daya intelektual dan menggilap potensi kaum wanita untuk menjadi pemimpin masyarakat pada masa depan.

Kementerian telah memperuntukan dana sejumlah RM4 juta untuk Kursi itu dengan perbelanjaan sebanyak RM500,000 setahun untuk membiayai Kursi itu selama lapan tahun. Kursi itu akan ditempatkan di Pusat Kepimpinan Wanita (PKW) UKM.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPWKM, Dato’ Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

KPWKM akan berkolaborasi dengan UKM ke arah meningkatkan pertumbuhan daya intelektual dan menggilap potensi wanita yang berketrampilan untuk dibimbing, dilatih dan dibentuk menjadi pemimpin yang strategik dan berwawasan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyaksikan acara itu berkata kursi itu akan memberi motivasi dan hala tuju kepada wanita Malaysia yang mempunyai potensi dalam bidang kepimpinan untuk ke tahap yang lebih tinggi.

‘‘Penubuhan kursi ini merupakan pelaburan yang bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penglibatan wanita yang berkaliber, intelektual dan berdaya pimpin ke dalam usaha menjayakan agenda pembangunan modal insan negara,” tambah beliau.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan akan menggunakan dana yang diperuntukkan untuk memastikan tokoh yang akan menyandang kursi adalah daripada kalangan tokoh ilmuwan kepimpinan yang layak dan bertanggungjawab dalam mengembangkan ilmu kepimpinan wanita Malaysia.

“Aktiviti wacana ilmiah, penyelidikan, penerbitan dan perkongsian ilmu dalam kepimpinan wanita akan dirancang secara komprehensif dengan penyandang kursi.

“Kami yakin Kursi Kepimpinan Wanita akan membangunkan pemimpin massa wanita yang diperlukan serta mentransformasikan kepimpinan individu, keluarga, masyarakat dan organisasi. Pusat ini juga menjadi rujukan mengenai ilmu dan amalan kepimpinan wanita melalui penyelidikan, advokasi dan latihan terancang,” katanya.