AsiaEngage Untuk Meningkatkan Hubungan IPT Dengan Mayarakat Dan Industri Dilancar Di UKM
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 10 Mei 2012 – Perkongsian usaha komersil antara universiti dan swasta yang sedang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak harus dihadkan di dalam negara ini sahaja tetapi perlu diluaskan ke peringkat antarabangsa.
Demikian saranan para akademik dan badan bukan kerajaan rantau ini dalam suatu dialog di akhir Persidangan Perkongsian Pengajian Tinggi bersama Masyarakat dan Industri ASEAN, di UKM kelmarin.
Mereka berpendapat negara-negara ASEAN dan Asia-Pasifik perlu meningkatkan usaha untuk membangunkan hubungan IPT dengan masyarakat dan menyeru supaya perkongsian komersil antara universiti dan swasta diluaskan di peringkat antarabangsa dan bukan sahaja dalam negara.
Dalam dunia yang saling bertaut, adalah mustahak untuk diwujudkan masyarakat berilmu untuk memberi faedah pengetahuan kepada masyarakat umum dan bukan sahaja berperanan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Persidangan tiga hari itu yang berakhir semalam telah membincang cara-cara universiti boleh menjalin hubungan komersil dengan syarikat dan masyarakat umum sambil meraih keuntungan.
Sebuah pertubuhan serantau payung digelar ‘AsiaEngage’ dilancarkan sempena persidangan yang akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan hubungan antara IPT dalam ASEAN dengan masyarakat dan swasta.
Para akademik dari rantau ini mengakui perlunya wujud kerjasama baik antara IPT dengan badan-badan kebajikan, NGO, yayasan penderma dan industri.
AsiaEngage merupakan suatu rangkaian dengan urusetianya ditubuhkan di UKM akan menyokong peranan universiti dalam hal berkhidmat untuk masyarakat.
Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menyifatkan usaha ini sebagai langkah penyelidik keluar dari menara gading untuk membantu masyarakat.
Misi UKM, katanya, adalah untuk menghormati kontrak sosial dengan pihak yang menyalurkan dana.
Beliau menganggap AsiaEngage sebagai suatu usaha yang membabitkan semua pihak untuk mengeratkan tali silaturahim dengan masyarakat yang mana ilmu dan kepakaran boleh disalurkan.
Umpamanya, dana dari sektor swasta boleh diguna untuk suatu usaha universiti di mana projek itu boleh dijayakan untuk penduduk tempatan.
Ketika persidangan, beberapa ahli akademik dan NGO berpendapat bahawa bukan semua universiti dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi manakala hasil penyelidikan mereka juga belum sampai ke tahap antarabangsa.
Bagaimanapun, ada peserta yang yakin kejayaan boleh dicapai jika mereka mengadakan kerjasama rapat dengan masyarakat tempatan. Penduduk tempatan yang perlukan bantuan harus diberi peluang menyertai projek supaya mereka mendapat menambahkan pendapatan.
AsiaEngage, yang kini terdiri daripada 68 anggota dari 16 negara, menyatupadukan Rangkaian Industri dan Komuniti Hubungan Universiti Asia-Talloires; Rangkaian Tanggungjawab Sosial dan Lestari Universiti bertema yang ditubuhkan pada Oktober 2010; dan Program Sukarelawan Belia ASEAN.
Tujuannya untuk memudahkan kerjasama antara rakan-rakan institusi pengajian tinggi, swasta dan masyarakat umum.
Timbalan Naib-Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill berkata ia akan menjadi saluran bukan sahaja untuk universiti tetapi juga NGO, yayasan dan industri untuk bekerjasama antara mereka.
Beliau berharap dengan adanya rangkaian kerjasama itu projek kemasyarakatan oleh IPT tidak akan lagi dilakukan secara ad hoc.
Universiti yang mempunyai modal intelek dan ilmu akan menjadi peneraju rangkaian itu untuk menangani cabaran sosial, alam sekitar dan ekonomi bersama NGO dan pihak swasta.
Prof Saran juga berharap taraf hidup rakyat miskin dapat dinaikan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Alaf.
Dengan wujudnya AsiaEngage usaha IPT yang sudah pun melaksanakan program membantu menaikkan taraf hidup masyarakat pendapatan rendah akan bertukar corak menjadi global di mana projek yang berjaya di sesebuah negara dapat di lakukan juga di negara lain.
Pengarah Eksekutif Rangkaian Universiti ASEAN, Prof Nantana Gajaseni berkata kerjasama IPT, industri dan masyarakat sudah lama berlaku tetapi tidak secara teratur dan berharap AsiaEngage akan dapat selaraskan semua usaha demikian itu.
Naib Canselor University of Western Sydney yang juga Naib Pengerusi Rangkaian Antarabangsa Talloires, Prof Janice Reid menyifatkan AsiaEngage sebagai langkah penting ke arah kerjasama global dan pengajian tinggi.
Misi Rangkaian Talloires, katanya, adalah kesetian kepada masyarakat di mana sesuatu universiti itu berada.
Anggota-anggota AsiaEngage secara automatik menjadi ahli Rangkaian Talloires, yang kini mewakili 240 institusi di 65 negara.
Persidangan itu dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama kementerian Pengajian Tinggi, Rangkaian Talloires dan Rangkaian Universiti ASEAN.