Malaysia Perlu Waspada Terhadap Bencana Alam
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI, 23 Mei 2012 – Seorang pakar geologi UKM mengingatkan rakyat negara ini supaya sentiasa berwaspada terhadap kejadian bencana alam yang semakin kerap berlaku walaupun Malaysia tidak berada dalam Lingkungan Berapi Pasifik seperti Indonesia dan Filipina.
Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin dari Program Geologi di Fakulti Sains dan Teknologi berkata walaupun tidak berada dalam lingkungan itu, negara masih dikelilingi oleh zon gegaran bumi yang paling aktif di dunia, iaitu Plat Pasifik dan Plat Filipina.
Negara kini pun mengalami semakin banyak bencana seperti banjir, tanah runtuh dan tanah mendap dan ada baiknya rakyat insaf dan berwaspada kerana tanda-tanda malapetaka semakin jelas.
Dr Tajul Anuar memberikan kesimpulannya itu dalam ceramah teknik bertajuk “Geobencana Gempa Bumi dan Tsunami – Peringatan Daripada Al-Quran dan Al-Hadis”, di Fakulti itu di sini hari ini.
“Geobencana” ditakrifkannya sebagai proses semula jadi bumi yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan ekonomi serta menjejaskan kualiti alam sekitar.
Beliau berkata walaupun kesan paling dahsyat tsunami 2004 berlaku di Sumatera dan India, negara tidak terlepas dari kesan buruk di pantai barat semenanjung.
Dr Tajul Anuar yang juga Penyelaras Program Bencana Alam di Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Asia Tenggara, UKM (SEADPRI-UKM) berkata terdapat faktor lain yang perlu diteliti untuk memahami bencana alam.
Sepintar-pintar orang menyelidik rahsia alam, ilmu manusia amat terbatas dan tidak dapat menakluki sepenuhnya alam semesta.
Beliau menerangkan, Al-Quran adalah mukjizat teragung dan merupakan sumber ilmu serta pedoman hidup kepada Nabi Muhammad SAW.
Beliau menegaskan semakin berkembangnya sains dan teknologi, banyak penemuan sains yang dibuat yang membuktikan kesahihan Al-Quran.
Beliau menyorot kepada banyaknya keterangan dan peringatan yang boleh didapati daripada kitab suci itu dalam hal yang berkaitan dengan kejadian bencana alam.
Kisah-kisah di dalam Al-Quran menceritakan tentang beberapa kaum dan umat nabi-nabi yang terdahulu yang ditimpa bencana dahsyat sehingga ada yang terus terkubur bersama tamadun yang mereka bina.
Beliau menyifatkan malapetaka demikian sebagai balasan dosa manusia. Ini berlaku apabila banyak berlaku kemungkaran dan kemaksiatan dan bencana alam menjadi penghapus dosa, tambah beliau seraya berkata ia juga mungkin berlaku jika ada kezaliman dalam pemerintahan.
Geobencana, katanya, hanya akan diturunkan sebagai pengajaran mengupas kejadian tsunami di Aceh hampir lapan tahun lalu sebagai contoh.
Walaupun Aceh dipandang sebagai wilayah yang menjadi tunggak kepada Islam, sebelum tsunami itu tetapi terdapat banyak perlakuan yang bercanggahan dengan kehendak Allah.
Terdapat banyak masjid di Banda Aceh, tetapi tiada yang bersolat apabila masuk waktu dan ketika azan berkemundangan orang ramai tidak menghiraukannya.
Anak gadis pula berani bersiar-siar dalam pakaian yang menjolokkan mata dan bukan dengan muhrim, kata Dr Tajul Anuar.
Malaysia juga menghadapi semakin banyak bencana seperti banjir, tanah runtuh dan tanah mendap. Maka itu adalah baik kita insaf dan berwaspada kerana tanda-tanda kejadian malapetaka semakin jelas.
Ia boleh berlaku apabila terdapat banyak perlakuan kemungkaran dan kemaksiatan dan bencana alam akan menjadi penghapus dosa.
Geobencana hanya akan diturunkan sebagai pengajaran,kata Dr Tajul Anuar.