Prof UKM Dilantik Felo Akademi Sains Malaysia
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
BANGI, 21 Mei 2012 – Pengarah Institut SelFuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud telah dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia (ASM).
Satu kenyataan ASM hari ini berkata Prof Wan Ramli, Profesor Kejuruteraan Kimia di Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Proses, Fakulti Kejuruteraan, telah dilantik menyandang jawatan itu di Mesyuarat Agong Tahunan ASM yang ke 17 pada 28 April lalu.
Kenyataan itu berkata tarikh penganugerahan rasmi felo yang baru dipilih itu akan diadakan dalam satu acara Akademik pada satu tarikh yang belum ditetapkan.
Prof Wan Ramli adalah pelopor teknologi selfuel di UKM. Beberapa jentera dengan kuasa selfuel telah dihasilkan Institut SelFuel dalam beberapa program menggunakan teknologi tenaga hidrogen.
Institut SelFuel diasaskan pada tahun 2005 sebagai suatu unit pentadbiran penyelidikan dan pembangunan yang bebas dalam UKM. Ia mula bergiat secara rasmi apabila Prof Wan Ramli dilantik sebagai pengarahnya pada 2007.
Institut itu adalah yang pertama di Malaysia yang menjalankan kajian serta mencipta enjin menggunakan tenaga selfuel dan tenaga hidrogen.