UKM Dan COLMEX Mexico Metrai Kerjasama Akademik Lebih Erat
Oleh Mohd Safar Hasim dengan sumbangan dari Rashila Ramli
Foto Rashila Ramli
MEXICO CITY, 21 Mei 2012 – UKM hari ini telah memperluaskan lagi kerjasamanya dengan sebuah universiti Mexico, El Colegio de Mexico (COLMEX), yang telah terjalin sejak 2007, untuk merangkumi kerjasama di bidang penyelidikan serta mengadakan satu program pasca doktor falsafah.Ini berikutan dengan termeterainya suatu Perjanjian Persefahaman (MOU) antara mereka. Ia ditandatangi Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin dan Setiausaha COLMEX, Dr Manuel Ordorica Mellado di sini hari ini.
Perjanjian dengan COLMEX itu adalah yang ketiga dimeterai UKM dengan universiti di Latin Amerika. Yang pertama dengan Universidad Interculturales Estados Unidos (UIEM) juga dari Mexico dan yang keduanya dengan Universidad Nasional dari Costa Rica kedua-duanya pada 2011.
Prof Sharifah Hapsah menyifatkan perjanjian persefahaman itu sebagai suatu perkembangan yang amat penting memandangkan Mexico adalah jambatan dan pintu utama memasuki Amerika Latin.
UKM, katanya, amat berbangga dapat bekerjasama dengan COLMEX. UKM yang baru saja meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke 42 pada 18 Mei lepas adalah 32 tahun lebih muda dari COLMEX.
Bagaimana pun sebagai sebuah Universiti Kebangsaan yang ditubuhkan atas cita-cita kebangsaan rakyat pribuminya kami mempunyai tanggungjawab untuk memantapkan keperibadian dan budaya nasional sekali pun kami berusaha untuk mensejagatkannya, kata Prof Sharifah Hapsah.
Beliau berkata Mexico adalah sebuah negara penting bagi Malaysia khususnya UKM dan memang tepat untuk mengadakan hubungan akademik yang kuat.
Malaysia dan Mexico mempunyai banyak persamaan seperti kepelbagaian kaum pribumi dan budaya dan mereka boleh mempelajari mengenainya dari satu sama lain. Ini boleh dimantapkan lagi dengan belia kedua negara mengambil bahagian dalam program koloboratif antara mereka.
Prof Sharifah Hapsah berharap pelajar COLMEX akan dapat menyertai program Perkongsian UKM dan Pertubuhan Mobiliti Pelajar Global yang berhasrat ‘membina jambatan untuk memantapkan persefahaman dan persahabatan sejagat’.
Perkongsian itu membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam suatu program tiga minggu bersama masyarakat orang asli Malaysia atau program warisan tropika lestari. Program tahun ini akan bermula pada 28 Jun nanti.
Prof Sharifah Hapsah berkata UKM kini sedang melaksanakan dua aktiviti penting, iaitu menterjemahkan buku Sejarah Sendat Mexico, yang diterbitkan COLMEX dan kemungkinan anggota universiti Mexico itu mengambil bahagian dalam Seminar Antarabangsa Ketiga mengenai Pengajian Latin Amerika di Asia (LASA 3) akhir tahun nanti.
Mexico juga adalah pusat warisan budaya yang kaya dengan tradisi baik dikalangan warga akademiknya mahu pun rakyatnya yang mahu mencapai tahap akademik terbaik.
Budaya itu telah terpupuk sekian lama sejak tamaddun purbanya sebelum penjajahannya oleh Sepanyol. Budaya ini berterusan dijulang.
Beliau berkata Mexico tentunya berbangga dengan tiga orang warganya yang telah pun mendapat pengiktirafan sebagai pemenang Hadiah Nobel iaitu: Alfonso Garcia Robles yang menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1982, Octavio Paz, Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan pada 1990 dan Mario Jose Molina Henrique menerima Hadiah Nobel untuk Kimia pada 1995.
“Kami juga berkongsi bangga dengan Sor Juana Ines de la Cruz yang telah mengeluarkan manifesto pertama memperjuangkan hak pelajaran untuk wanita pada abad ke17 lagi.
“Dan pada abad lalu karya lukisan Frida Kahlo telah memberikan inspirasi untuk generasi sekarang dan akan datang. Warisan demikian perlu dikaji dan di sanjungi”, kata Prof Sharifah Hapsah.
COLMEX dibina atas budaya akademik terbaik dan mendapat pengiktirafan dunia dan kini telah pun meluaskan bidang pengajiannya merangkumi Sejarah, Bahasa dan Kesusasteraan, Pengajian Antarabangsa, Asia dan Afrika, Ekonomi, Sains dan Teknologi, Demographi, Kesihatan Reproduktif dan Penduduk dan Wanita.
Keunggulan programnya boleh dilihat dengan kewujudan beberapa kerusi termasuk Kerusi Raul Prebisch, Kerusi Simone de Beauvoir dan Kerusi Daniel Cosio Villegas mengkaji sejarah, kata Prof Sharifah Hapsah.
Hadir di upacara itu ialah Duta Besar Malaysia ke Mexico, Dato’ Jamaiyah M Yusof; Atase Budaya Kedutaan Besar Mexico di Malaysia, Dra. Blanca Barrangan S. Monteczuma; Pengarah Pengajian Asia dan Afrika COLMEX, Prof. Dr. Benjamin Preciado; Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa UKM, Prof Imran Ho Abdullah dan Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON), Prof Madya Dr Rashila Ramli.
Upacara itu adalah sebahagian daripada beberapa aktiviti kunjungan 12 hari rombongan UKM ke Latin Amerika untuk melawat enam buah universiti di Mexico dan Costa Rica membincangkan kerjasama antara mereka.
Universiti yang dikunjungi terdiri dari Universidad Nasional Costa Rica, El Colegio de Mexico (COLMEX), Universidad Interculturales Estados Unidos (UIEM), Universidad Ibero Americana (IBERO), Centro Investigasiones Desarrollo Economica (CIDE) dan Universidad Autonomos Nacional de Mexico (UNAM).
Selain dari Prof Sharifah Hapsah anggota rombongan lainnya terdiri dari Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Pengarah Institut Kajian Oksidental (IKON), Prof Madya Dr Rashila Ramli; Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof Dr Imran Ho Abdullah dan Dr Mohammad Sabri Haron, dari Pusat Pengajian Umum.