University Ixtlahuaca Mexico Meraikan Rombongan UKM
Oleh Imran Ho Abdullah
TOLUCA, MEXICO, 20 May 2012 – Walau pun hari Minggu, Presiden University of Ixtlahuaca CUI, Prof D Ballesteros Margarito Ortega dan pegawai-pegawai kanan serta pelajar pasca siswazahnya menyambut gembira satu rombongan UKM ke kampusnya hari ini.
Rombongan diraikan dengan persembahan tradisi Mexico oleh Kumpulan Cuicoyán dan kemudiannya menanda tangani Surat Hasrat mengadakan kerjasama antara pelajar dan warga kerja mereka serta penyelidikan dan perkongsian bidang kerja terbaik.
Rombongan itu terdiri dari Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof Dr Imran Ho Abdullah; Pengarah IKON, Prof Madya Dr Rashila Ramli bersama Atase Kebudayaan Kedutaan Besar Mexico di Malaysia, Dr Blanca Barragan Moctexuma dan Penyelaras Pejabat Hubungan Antarabangsa di Intercultural University Mexico, Guadalupe Dominguez Market.
Prof Ortega menyatakan pentingnya diwujudkan hubungan akademik antara Malaysia dan Mexico.
Rombongan UKM kemudiannya di bawa melawat kemudahan yang wujud di universiti itu diikuti dengan suatu sesi dialog dengan pelajar pasca siswazahnya.
Menjawab satu soalan, Prof Sharifah Hapsah berkata dalam usaha mentransformasi sesebuah universiti suatu sistem yang boleh menjamin mutunya serta mewujudkan budaya penyelidikan yang kuat dan mantap perlu diadakan.
Sebelum itu pada 16 Mei lalu, Prof Imran Ho dan Prof Madya Rashila membuat kunjungan hormat kepada Naib Provos Hubungan Antarabangsa, Universidad Nacional Autonoma de Mexico (UNAM), Prof Armando Lodiagiani Rodriquez.
Lawatan itu diatur oleh Atase Budaya Mexico di Malaysia, Dr Blanca Barragan Moctexuma bertujuan memantabkan hubungan antara IKON dan Program Pasca Siswazah UNAM. Mereka telah pun mempunyai hubungan berikutan dengan termeterainya Surat Hasrat antara kedua universiti itu pada Dis 2008.
Prof Rodriques dalam ucacpan aluannya berkata UNAM menyanjungi hubungan lebih erat antara mereka serta universiti lain di tenggara Asia mungkin dengan mengadakan perjanjian mengenai hubungan dan pertukaran akademik.
Beliau menyatakan hasratnya untuk menanda tangani Memorandam Kesefahaman antara UKM dan UNAM bagi mengadakan peluang pertukaran pelajar mereka ke kampus masing-masing menjalankan kegiatan penyelidikan serta berinteraksi dengan pensyarah di fakulti.
Hadir di perjumpaan itu adalah Pengarah Pejabat Kerjasama Akademik, Angelica Castillo Salazar serta Dr Blanca Barragan Moctexuma.