Pegawai Kadet Palapes UKM Menjalani Latihan Menembak
Oleh Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman dan Abd Raai bin Osman
Foto Abd Raai bin Osman, Penerbit UKM
BANGI, 22 Nov 2012 – Seramai 338 orang pegawai kadet UKM telah menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun Kedah waktu cuti pertengahan semesta baru-baru ini untuk didedahkan kepada penggunaan senjata.
Latihan itu adalah juga untuk meningkatkan kemahiran menembak bagi kadet senior serta mengeratkan hubungan kerjasama kadet dengan pegawai sukarela dan jurulatih Palapes, kata Pegawai Sukarela Palapes UKM, Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman.
Seramai 15 orang jurulatih dan 12 pegawai sukarela turut mengambil bahagian.
Program latihan itu juga merangkumi latihan membaca peta dan pandu arah, kawad kaki dan senjata, IPB (Intelligence Preparatory of Battlespace), TEWT (Training Exercise Without Troops), semboyan dan regimental yang turut di adakan di Kem Sungai Besi dan Kem Asahan di Melaka.
Mejar Jasmy berkata dalam latihan menembak pegawai kadet itu diberi peluang menggunakan senjata seperti M-16, M-203, GPMG (General Purpose Machine Gun) berserta dengan kaki tiga untuk tembakan jarak jauh.
Pengalaman seperti ini jarang diperolehi memandangkan latihan sebelum ini seringkali menggunakan senjata persendirian di peringkat platun iaitu M-16 sahaja.
Justeru peluang menggunakan senjata bantuan Kompeni iaitu GPMG telah dimanfaatkan oleh pegawai kadet dalam usaha mempelbagaikan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sesuai dengan konsep Kemahiran Insaniah yang diterapkan oleh Pusat Akreditasi Pembelajaran (PAP) UKM.
Major Jasmy berkata terdapat ramai di kalangan pegawai kadet yang berpotensi untuk diketengahkan berdasarkan keputusan latihan menembak itu.
Beliau percaya pegawai kadet UKM boleh bangkit mengharumkan nama universiti dalam pertandingan menembak seperti rekod penyertaannya terdahulu.
UKM sendiri mempunyai lapang sasar 25 meter untuk acara menembak pistol yang boleh dimanfaatkan untuk penembak dari Palapesnya.
Beliau yakin dengan latihan yang konsisten dan sokongan universiti, lebih ramai jaguh menembak pistol dapat dilahirkan di kalangan pegawai kadet, pegawai sukarela dan jurulatih palapes sendiri.
Kesemua latihan itu perlu dijalani dan dinilai selama tiga tahun untuk melayakkan mereka mendapat lapan unit (kredit). Sekiranya lulus semua ujian dan praktikal tersebut, barulah pegawai kadet itu layak ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Baginda Yang Di Pertuan Agung.
Mejar Jasmy berharap semua pelajar yang menyertai Palapes akan dapat mengekalkan unit kredit mereka kerana pengorbanan yang dilakukan tidak sama dengan projek ko-kurikulum lain yang ditawarkan seperti dalam bidang kebudayaan, sukan, persatuan pelajar dan khidmat masarakat.
Pengorbanan terutamanya dari aspek masa (jam terlibat) sepanjang tempoh tiga tahun tentunya tidak sama dengan projek ko-kurikulum yang lain yang boleh diselesaikan dalam tempoh 2 – 3 semester sahaja berbanding Palapes yang memerlukan penglibatan mereka sehingga 6 semester.
Ketua Jurulatih Palapes UKM, Leftenan Kolonel Mohd Sahar bin Haji Said mengakui dengan latihan yang mereka terima pegawai kadet mampu menjadi modal insan yang berguna kepada mahasiswa lain. Ia juga mampu menjadikan mereka pelajar bersemangat waja dan berdaya saing sama ada di peringkat universiti atau selepas memasuki pasaran kerja.
Latihan yang diberikan kepada semua pegawai kadet itu merupakan asas sebelum ditauliahkan dan ianya boleh diteruskan setelah tamat pengajian dengan menyertai pasukan tetap Angkatan Tentera Malaysia atau sebagai pegawai sukarela di Regimen Askar Wataniah.
Latihan menembak selama tiga hari itu diakhiri dengan pertandingan menembak jatuh piring (falling plate) dengan menggunakan senjata M-16 di jarak 200 meter dan 100 meter.
Pasukan Pegawai Sukarela kemudian menewaskan pasukan Jurulatih diperingkat akhir menembak semua 10 piring dengan pasukan Jurulatih ketinggalan 1 piring.