Pesta Gendang Antarabangsa UKM Menyaksikan Persembahan Mengkagumkan

ISNIN, 03 DISEMBER 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Nov, 2012 – Ratusan peminat muzik telah terpukau dengan persembahan menakjubkan oleh lapan kumpulan gendang dari enam buah negara pada Pesta Gendang Antarabangsa UKM 2012 yang berlangsung di sini minggu lalu.

Pasukan UKM adalah antara tiga pasukan Malaysia yang mengambil bahagian dalam pesta itu. Dua lagi dari Malaysia adalah pasukan Universiti Utara Malaysia dan kumpulan Suara Rebana.

Peserta antarabangsda terdiri dari Sekolah Tinggi Seni Indonesia, De La Salle University dari Filipina, University of Economics and Business Vnu Hanoi dari Vietnam, Phetcharaburi Rajabhat University dari Negeri Thai dan Ochun dari Ecuador.

Hadir di konsert itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A. Karim serta penggubal dan pengarah muzik terkemuka negara, Dato’ Dr Johari Salleh, yang juga Felo Utama Pusat Kebudayaan UKM.

Pesta Gendang itu dianjurkan Pusat Kebudayaan dan Jabatan Perkhidmatan Pelajar dan telah berlangsung selama tiga hari mulai Khamis lalu di kampus utama UKM di sini.

Pesta itu merangkumi tiga bahagian terdiri dari Bengkel, Persembahan Kebudayaan dan Lawatan Kebudayaan.

Ia telah dirancang untuk menyerap intipati warisan budaya, pengaruh dan pembangunannya dalam usaha untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik dan penghargaan kepada budaya sebagai suatu Warisan Dunia.

 

Antara acara kemuncak persembahan ialah rentak bertenaga pasukan dari Ecuador, yang menggabungkan irama Afrika dengan cita rasa Amerika Latin.

Pesta itu menyediakan peluang yang jarang terdapat untuk belia dan pelajar terutama mengenai seni dan budaya, untuk melengkapkan pengajian mereka dan pembangunan peribadi.

Untuk mencapai objektif festival, setiap kumpulan mencalonkan antara 5 hingga 10 orang untuk menyertai persembahan. Para peserta harus mempunyai minat muzik terutama gendang dan mampu untuk mempersembahkan muzik negara masing-masing. Setiap kumpulan dikehendaki membuat persembahan selama 10 minit berasaskan budaya mereka sendiri.

Peserta menguruskan perjalanan mereka sendiri ke Malaysia dan diminta membawa pakaian dan alat muzik tradisional mereka.

Penyertaan adalah percuma dan UKM menyediakan penginapan, makanan, pengangkutan domestik termasuk datang dan pergi dari lapangan terbang, lawatan kebudayaan dan makanan.

Mereka tiba di Kuala Lumpur Khamis lalu dan telah berlepas pulang Isnin lalu.