UKM dan UNPAD Mampu Teroka Ilmu Baru Demi Pembangunan Kedua-dua Negara
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Prof Kamaruddin & Mohd Idham
BANDUNG, 28 Nov, 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Padjadjaran (UNPAD) di Indonesia mampu meneroka ilmu baharu serta meningkatkan usaha sama dan kaedah baharu yang diketengahkan demi untuk pembangunan kedua-dua negara.
Naib Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata setiap universiti harus menyumbang kepada dan keamanan melalui pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara.
Prof Sharifah Hapsah berkata kerjasama dan kolaborasi antarabangsa adalah wajib dalam dunia yang dilanda arus globalisasi.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucap balas sempena dianugeragkan Ijazah kehormat Doktor Honoris Causa Manajemen Pendidikan Tinggi dari UNPAD di sini pagi ini.
Ijazah itu telah disampaikan oleh Rektor Universitas Padjadjaran Prof Ir. Dr Ganjar Kurnia dalam satu upacara gilang gemilang di Dewan Utama Rektorat UNPAD di kampus Jatinagornya di sini dengan disaksikan para anggota Senatenya serta Pembantu Rektornya dan anggota akademik lainnya.
Turut hadir adalah Timbalan-timbalan Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Othman A Karim (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill (Jaringan Industeri dan Masyarakat), Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali, beberapa orang Pengarah Institut dan Profesor.
Juga hadir adalah pelajar-pelajar perubatan UKM yang menjalani kursus dwi ijazah bersama UNPAD serta pelajar-pelajar antarabangsa lain dan alumni UKM.
Dalam ucapannya bertajuk Universiti Penyelidikan dalam Era Ekonomi Berteras Inovasi, Prof Sharifah Hapsah merakamkan penghargaan beliau kepada para pemimpin dan Senat UNPAD dengan berkongsi pengalaman UKM sebagai universiti penyelidikan.
Menurut beliau UKM sendiri telah melaksanakan usaha menerapkan budaya inovasi dan keusahawanan (I&E) melalui tiga strategi: menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber daya inovasi dan keusahawanan; menyediakan laluan yang memberangsangkan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada inovasi dan pengkomersilan; serta menjadikan pemimpin yang berkesan, tadbir urus dan pengurusan bakat yang teratur.
Beberapa inisiatif dilaksanakan untuk menyuburkan budaya I&E seperti memperkenalkan unsur keusahawanan dalam kurikulum, membina keupayaan untuk pengkomersilan R&D, jaringan antarabangsa, kepimpinan dan pengurusan bakat selain menyediakan keperluan prasarana, dasar dan tadbir urus yang telus.
Prof Syarifah Hapsah menyatakan ciptaan yang banyak terdapat di universiti tidak memadai. Ciptaan itu akan terus dalam simpanan universiti melainkan diubah kepada bentuk yang menjadi rebutan pengguna kerana mempunyai nilai tinggi. Ciptaan dan inovasi tidak mempunyai nilai melainkan dipilih untuk dimajukan oleh usahawan berbakat.
Selain itu, tambah beliau, UKM dan UNPAD menjalinkan kerjasama keilmuan secara rasmi pada tahun 1985 apabila kegiatan akademik seperti penyelidikan bersama, program pertukaran akademik, pertukaran penuntut dan penyeliaan siswazah dilaksanakan.
Secara jelasnya penganjuran bersama Simposium Kebudayaan Indonesia Malaysia (SKIM) setiap dua tahun sekali semenjak tahun 1985 telah memperteguhkan lagi kerjasama akademik bukan sahaja antara UKM dan UNPAD, malahan di peringkat ASEAN keseluruhannya.
Rangkuman persoalan wacana dalam SKIM juga telah menjangkau seluruh dimensi kehidupan termasuk Sains, Teknologi dan Inovasi yang menyaksikan percambahan pelbagai teori baharu.
Senarai daftar Quacquarelli Symonds (QS) untuk penarafan universiti dunia bagi tahun 2012 meletakan Universitas Padjadjaran di tangga 185 dalam Asia, manakala Ukm berada di tangga 31 daripada 50 universiti dunia di bawah umur 50 tahun.