Wifi Percuma Untuk 25,000 Pelajar UKM
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ahmad Mahyudi
BANGI, 19 Nov, 2012 – Kesemua 25,000 orang siswa Universiti Kebangsaan akan dapat menikmati Wifi internet percuma sehingga 300mb sebulan selagi mereka adalah pelajarnya.
Pengarah eksekutif YTL Communications Sdn Bhd Yasmin Mahmood yang mengumumkan pemberian itu di sini hari ini berkata bakal pelajar di ukm juga boleh menikmati kemudahan itu.
Syarikat itu baru-baru ini telah memeteraikan satu Memorandam Persefahaman dengan UKM untuk membekalkan talian Yes 4G di seluruh kampus di sini yang yang laksanakan dengan pelaburan jutaan ringgit.
Yasmin berkata pelaburannya itu adalah sebahagian daripada Program Rakankongsi Pelajarannya di mana YTL Com menawarkan capaian mudah dan cepat ke internet untuk pelajaran.
Pelajar yang ingin mendapatkan kemudahan wifi 4G itu perlu berdaftar di kedai Yes yang terdapat di pusat siswa Pusanika dalam kampus UKM di sini.
Pakej siswa yang ditawarkan Yes berharga RM99 tetapi diberikan percuma kepada siswa yang berdaftar. Mereka kemudian akan dibekalkan dengan suatu alat membolehkan sambungan itu. Siswa yang mahu menggunakan kemudahan melebihi 300mb perlu membeli lebihan itu.
Satu lagi kemudahan yang ditawarkan ialah pakej istemewa RM100 dimana siswa akan diberikan sebuah telefon pintar Samsung bersama kemudahan mendapatkan data tiga kali ganda dari pakej 300mb percuma itu.
Telefon Samsung boleh digunakan sebagai telefon bimbit biasa dan boleh digunakan sebagai alat untuk melayari internet melalui USB di komputer bimbit.
Yasmin berkata YTL Com mendokong hasrat kerajaan menggalakan pelajar menggunakan internet untuk pelajaran.
YES 4G adalah suatu sistem termoden di dunia dan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai kemudahan canggih ini.
Penggunaan internet adalah tinggi di Malaysia tetapi kebanyakkan daripadanya melayari media sosial bukannya untuk pelajaran. “Kami sedang berusaha menggalakan pengguna internet memberi tumpuan lebih kepada soal pelajaran dan bukan hanya melayari media sosial sahaja,” kata Yasmin.
YTL Com, Katanya, yakin pelaburannya melalui Program Rakan Pelajaran adalah untuk faedah generasi akan datang dan merupakan tanggung jawabnya untuk menentukan Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai sambungan internet terbanyak di dunia.
YES 4G kini sudah pun berkembang meliputi lebih dari 70 peratus sambungan di Malaysia. Sambungan internet bergeraknya membolehkan penggunanya melayari internet tanpa gangguan dikeseluruhan lebuhraya Utara Selatan dari sempadan dengan negeri Thai hingga ke sempadan dengan Singapura.