Buku Mengenai Penyelidikan Seorang Berbangsa Czech Terhadap Kaum Semang Dilancarkan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 17 Ogos 2012 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerajaan Republik Czech telah melancarkan sebuah buku mengenai kaum Semang bertajuk Kembali Semula ke Semang: Koleksi Paul Schebesta, berdasarkan kajian yang dibuat oleh penyelidik antropologi Czech itu hampir 90 tahun lalu.
Buku itu dilancarkan oleh Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Kuala Lumpur minggu lalu dalam satu majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Institut Kajian Oksidental (IKON).
Timbalan Duta Besar Czech, Dr Martin Hubinger yang mewakili Duta Besar, Jan Fury turut hadir. Mereka berdua telah memberi sumbangan kepada penerbitan buku itu dengan mendapatkan hak cetak karya Schebesta itu dari penerbit asanya dan dari Arkib Czech. Buku itu diterbitkan sebagai edisi terhad dihadiahkan kepada individu terpilih sahaja. Ia tidak dijual.
Schebesta menjalankan penyelidikannya mengenai kaum Semang yang pada masa itu tidak diketahui oleh orang Eropah kecuali British. Schebesta menulis satu treatis moden mengenai mereka bertajuk Dikalangan Orang Kerdil Hutan Malaya pada tahun 1920-an. Hasil kajian beliau, dengan sekian banyak gambar orang Semang yang diambilnya telah digunakan dalam buku baru itu.
Buku Kembali Semula ke Semang disusun bersama oleh Profesor Emiritus Dato’ Dr Hood Salleh, Profesor Dr Kamaruddin Mohd Said dan Profesor Madya Rashila Ramli. Hasilnya ia mengandungi banyak gambar dari buku asal Schebesta dengan huraian nota asal penyelidik Czech itu.
Prof Emeritus Dato’ Dr Hood adalah Felo Utama dan Pengarah Muzium Warisan Akademik UKM dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI). Beliau adalah seorang ahli antropologi terkenal yang sering dirujuk mengenai Orang Asli Malaysia.
Prof Kamaruddin ialah Pengarah Penerbit UKM, bahagian penerbitan universiti dan adalah seorang peminat fotografi yang telah mempamerkan banyak hasil karyanya di dalam dan di luar negara dan telah berjaya menjual beberapa gambar beliau sebagai karya seni.
Beliau juga adalah ahli Senat Universiti dan Prof Antropologi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Beliau menyelia pemuliharaan digital gambar asal Schebesta untuk buku itu.
Prof Madya Rashila ialah Pengarah IKON dan pakar tadbir urus global mengenai gender dan politik. Beliau juga melakukan penyelidikan terhadap hak-hak sosial dan keadilan sosial masyarakat terpinggir.
Prof Hood berkata Schebesta menulis Dikalangan Orang Kerdil Hutan Malaya ketika orang Eropah sangat berminat terhadap negara-negara Timur dengan masyarakat yang mereka anggap sebagai primitif.
Bagaimanapun, Prof Hood berkata buku yang banyak memuatkan gambar yang diambil oleh Schebesta tidak memandang serong terhadap sikap dan usaha asal Schebesta, tetapi memberi penekanan kepada foto yang diambilnya yang didapati berkualiti tinggi.
Beliau berkata walau pun rakyat Czech itu adalah juga seorang paderi katolik dan pendakwah untuk mengKristiankan Orang Semang tetapi Schebesta sendiri mengakui beliau lebih berminat untuk belajar mengenai budaya dan bahasa mereka daripada cuba untuk mengKristiankan mereka.
Prof Kamaruddin memuji Schebesta sebagai jurugambar yang sangat cekap dan berdedikasi dan tergamam dengan kualiti gambar-gambar diambil penyelidik Czech itu apabila memeriksa negatif asalnya waktu membuat persediaan untuk pameran khas gambar-gambar itu pada bulan Novermber lalu di UKM.
Beliau berkata Schebesta sangat teliti mengambil gambar, kerana gambar-gambarnya itu amat jelas hingga dapat memberikan perbedaan ketara hitam-putih yang baik.
Prof Madya Rashila yang menganalisis buku Schebesta Dikalangan Orang Kerdil Hutan Malaya, memujinya kerana cara kerjanya objektif dan tidak berat sebelah berbanding penyelidik Eropah lain pada masa itu.
Beliau berkata ketika ramai ahli akademik lain bersikap prejudis atau rasis terhadap masyarakat yang mereka anggap sebagai mundur, Schebesta pula bergaul dan hidup bersama kaum Semang di daerah Belum, Perak. Kebanyakan penyelidik Eropah lain menulis tanpa menemui kaum yang mereka mengkaji.
Schebesta, yang meninggal dunia pada 1967 ketika berusia 80, berada di Semenanjung pada tahun 1924 dan 1925 menyelidik kaum Semang. Beliau tinggal bersama mereka di hutan hingga boleh bertutur bahasa Semang.
Schebesta menyelidik bidang antropologi fizikal, etnologi dan linguistik. Beliau telah menolak tanggapan bahawa orang kerdil atau pigmi, ia itu puak orang asli yang berbadan kecil, adalah dari satu cabang sampingan manusia purba tetapi sebenarnya mereka juga adalah manusia tulen.
Beliau tidak menerima tanggapan ramai bahawa Semang adalah keturunan orang kerdil atau pigmi Afrika. Beliau juga menolak teori bahawa orang Semang adalah segolongan manusia katik dan telah mempertahankan taraf keaslian primitif mereka sebagai kategori yang unik. Sumbangan utama Schebesta kepada etnologi pigmi adalah beliau yang pertama memberikan gambaran penuh mengenai budaya pigmi di rantau Asia Tenggara dan Afrika.
Menurut kata-kata aluan dalam buku Schebesta, selain dari kajian akademik, Schebesta sanggup membantu kaum Semang dalam berbagai hal termasuk mengajar mereka mengenai dunia moden dan bagaimana menerima kejutan tamadun di luar hutan belantara.
Pada tahun 2008 dua pengembara remaja Czech, Milan Danek dan Alena Slezakova, telah melancarkan “Ekspedisi Orang Asli” untuk menjejaki perjalanan Schebesta dalam usaha menampilkan kegigihannya hidup bersama kaum Semang di dalam hutan belantara Malaysia.