Pesakit Menerima Sumbangan Dari MAIWP Dan Masjid Negara

SELASA, 07 OGOS 2012 00:00 ADMINISTRATOR

Oleh Norhayati Md Raji PPUKM
Foto Norasyikin Yusof PPUKM dan Ikhsan Jabatan Kerja Sosial Perubatan, PPUKM

BANGI, 7 Ogos 2012 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Masjid Negara minggu lalu telah menyalurkan pelbagai bantuan dan peralatan perubatan kepada pesakit yang sedang di rawat di beberapa hospital di Wilayah Persekutuan sempena Ramadhan sekarang.

Sumbangan pertama disampaikan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Dato’ Syaikh Haji Ismail bin Haji Muhammad Rabu lalu kepada pesakit di wad terpilih Pusat Perubatan UKM manakala yang keduanya pada hari Khamis oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang disampaikan oleh Pengerusinya, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom kepada empat hospita di wilayah Persekutuan.

Sumbangan Masjid Negara berupa hamper dan wang tunai diserahkan kepada pesakit di wad pediatrik (kanak-kanak) dan wad surgeri PPUKM. Ia merupakan salah satu program tahunan kebajikan luar Masjid Negara yang dijalankan secara bergilir-gilir ke hospital di Kuala Lumpur dan Selangor .

Ketua Unit Jaringan Industri dan Masyarakat (UJIM) Pusat Perubatan UKM, Prof Madya Dr Noorazah Abdul Aziz ketika mengalu-alukan kunjungan rombongan Masjid Negara berkata sebagai pusat rujukan negara bagi pelbagai penyakit ia menerima pesakit dirujuk dari luar Lembah Kelang yang terpaksa tinggal di hospital sepanjang tempoh rawatan.

Program Masjid Negara itu dapat menceriakan pesakit dan keluarga yang berada di hospital selain mengeratkan lagi hubungan di antara institusi masjid dengan pihak hospital.

Manakala sumbangan MAIWP pula berupa bantuan dan peralatan perubatan bernilai RM1.86 juta kepada seramai 709 orang pesakit kronik di Wilayah Persekutuan sepanjang tahun ini sehingga Julai lepas.

MAIWP juga telah memperuntukan RM9.1 juta setahun sebagai bantuan haemodialisis kepada mereka yang memerlukannya di Wilayah Persekutuan, kata Dato’ Seri Jamil Khir.

Dato’ Seri Jamil Khir yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata sumbangan itu adalah berupa wang tunai, hamper, peralatan kesihatan serta sumbangan berjumlah RM800,000 untuk tabung kebajikan pesakit Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Hospital Kuala Lumpur masing-masing sebanyak RM250,00 dan RM50,000 kepada Hospital Putrajaya.

MAIWP telah mengadakan program tahunan sumbangan Aidilfitri kepada yang berkelayakan melalui Skim Bantuan Perubatan pesakit hospital untuk membantu mereka. Ia juga adalah sebagai tanda keprihatinannya terhadap golongan yang kurang bernasib baik khususnya yang mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata usaha mengagihkan wang zakat kepada lapan asnaf di Wilayah Persekutuan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan setiap individu yang layak akan mendapat bantuan zakat.

Usaha itu juga dapat membantu kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kalangan ummah khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.