Sikap Mesra Dan Wujudnya Pelbagai Kaum Menarik Pelawat Asing Ke Malaysia

SELASA, 28 OGOS 2012 00:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi 

BANGI, 28 Ogos 2012 – Sikap mesra serta kewujudan pelbagai kaum dan makanan adalah diantara perkara yang menarik orang asing termasuk pelajar berkunjung ke negara ini.

Ini adalah pandangan beberapa orang pelajar asing yang sedang mengikuti suatu program lawatan musim panas pelajar antarabangsa yang sedang berlangsung di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Mereka adalah di antara 38 orang pelajar antarabanga yang sedang mengikuti program yang pertama kali dianjurkan di Malaysia oleh UKM dan pertubuhan antarabangsa American Field Service (AFS). Program itu akan berakhir pada 8 Sept ini.

Robert Wagner, 24, dari Dresden, Jerman pernah kemari sebagai sukarelawan sosial tahun lalu. Beliau yang gemar makanan Malaysia telah memohon mengikuti program itu kerana berminat dengan budaya Malaysia dan kagum dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bagaimana pun beliau kurang senang dengan hujan yang terlalu kerap berlaku di sini dan agak bosan dengan sikap tidak menepati waktu temu janji. Apa pun Wagner berhasrat menggunakan pengalamannya dalam program dua minggu itu untuk tesis sarjananya di Chemnitz University di Timur Jerman mengenai Hal Ehwal Antara-Budaya.

Anja Kleiser, 25, juga seorang Jerman, yang baru menamatkan pengajian Sarjana dalam bidang Antropologi Budaya di University of Cologne, tidak melepaskan peluang untuk datang kemari lagi setelah melawatnya sebagai pelancong dengan abangnya beberapa tahun lalu.

Kleiser berkata dia gembira kerana terdapat pelbagai restoran dan makanan di Malaysia dan berharap untuk mencuba berbagai hidangan itu.

Beliau mendapati rakyat Malaysia pada umumnya bersopan santun walau pun pernah mengalami peristiwa pahit hendak digoda beberpa buaya darat dalam lawatan pertamanya dahulu.

 
Namun demikian, Kleiser mendapati beliau telah mendapat layanan istimewa dan ingin bertemu lebih ramai rakyat negara ini semasa berada di sini mengikuti program itu.

Bagi Sophie Yeoman dari New Zealand pula ia adalah kunjungan pertamanya ke Malaysia. Beliau yang berasal dari Wellington sering mendengar khabar yang kurang menyenangkan mengenai Malaysia.

Bagaimanapun beliau mahu mengalami hidup di Malaysia buat seketika. Antara faktor yang menarik minatnya untuk melawat negara ini adalah masakan Malaysia yang terdapat di negaranya.

Yeoman berkata dia gemar mencuba hidangan seperti roti canai dan sate di pelbagai restoran di Wellington dan ini yang membukakan matanya untuk kemari.

Beliau yang fasih bertutur bahasa Jerman, Perancis dan Sepanyol mahu belajar Bahasa Indonesia pula.

Pelajar itu juga merasa lega di Kuala Lumpur kerana perkhidmatan pengangkutan awam lebih baik daripada di Wellington, di mana orang ramai lebih suka berjalan kaki ke pejabat atau ke sekolah kerana perkhidmatan teksi agak terhad.