Tiada Definisi Jelas Mengenai Keganasan Membawa Kepada Pencabulan Hak Asasi
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 2 Ogos 2012 – Tidak adanya takrif tepat dan jelas mengenai apa yang disebut sebagai keganasan telah menyebabkan berlakunya pencabulan hak asasi manusia ke atas sesetengah orang yang dilabelkan demikian.
Seorang Prof Undang-undang dari University of Philippines College of Law, Prof Harry Roque berkata takrif keganasan akan berubah mengikut pendirian seseorang terhadap sesuatu perkembangan.
Beliau berkata seseorang mungkin dianggap pengganas oleh sebuah negara tetapi dijulang sebagai pejuang kebebasan bagi sebuah negara lain.
“Percanggahan yang nyata ini atau pun penggunaan takrif keganasan yang tidak konsisten boleh dilihat dari fakta sejarah. Pemimpin pergerakan kebebasan seperti Nelson Mandela di Afrika Selatan dan Habib Bourgouiba di Tunisia awalnya dianggap pengganas oleh pemerintahan penjajah negeri masing-masing tetapi kemudiannya menjadi negarawan yang dihormati antarabangsa,” kata beliau.
Prof Roque telah memberi syarahan umum mengenai cabaran yang dihadapi masa kini oleh undang-undang kemanusian antarabangsa di sini baru-baru ini. Syarahan itu dianjurkan oleh UKM dengan kerjasama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Beliau pernah mewakili mangsa peristiwa ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Maguindanao Filipina dan terlibat secara aktif untuk mendapatkan pampasan bagi kes ‘comfort women’ di mana wanita-wanita Filipina dikerah menjadi mangsa seks tentera Jepun masa perang dunia kedua dahulu.
Prof Roque berkata hingga kini masih belum ada definisi yang jelas dan tepat mengenai keganasan dalam konteks undang-undang antarabangsa. Ini telah membawa kepada pencabulan hak asasi manusia baik di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.
Beliau juga menyebut bagaimana Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dianggap sebagai pengganas oleh Israel tetapi adalah pejuang kebebasan rakyat Palestin dan diiktiraf demikian oleh dunia Arab dan Islam sebagaimana mereka yang berjuang di Kashmir dianggap pejuang oleh Pakistan tetapi pengganas oleh India.
Suatu contoh yang ketara, kata Prof Roque, adalah golongan Mujaheedeen Afghanistan (yang kemudiannya menjadi pergerakan Taliban). Mereka ini diiktiraf sebagai pejuang kebebasan semasa perang menentang tentera Soviet dengan diberi bantuan oleh Amerika Syarikat (AS), tetapi dianggap pengganas oleh kerajaan Soviet ketika itu.
Persepsi sama ada sesuatu kumpulan adalah pengganas atau pejuang kebebasan adalah hasil kepentingan politik yang berbeza, tambah beliau.
Kedudukan demikian telah mencabul proses keadilan yang diguna pakai di mana seseorang akan dianggap tidak bersalah sehingga disabitkan.
Beliau berkata di Filipina ketiadaan definisi yang jelas memberi President Gloria Macapagal Arroyo kuasa mutlak untuk menentukan apa yang dianggap sebagai keganasan di bawah Perintah Kerajaan (GO) 5.
Ia membenarkan tangkapan sewenang dan tanpa waran, menceroboh masuk kediaman dan pejabat suspek, mengambil alih institusi media serta larangan terhadap perhimpunan dan perjumpaan.
Peruntukan mengenai keganasan di bawah GO 5 itu kemudiannya di isytihar mahkamah Filipina sebagai melanggar perlembagaan negara itu.
Di AS pula orang yang dianggap pengganas dibenarkan disoal siasat menggunakan kaedah soal siasat melampau lagi menggerunkan seperti teknik “Water Boarding” di mana tahanan akan diikat ke papan dengan kaki ke atas dan muka di balut dengan pelekat selofan. Air kemudiannya dicurahkan ke atas mereka hingga menyebabkan mangsa berperasaan seperti mahu lemas.
Prof Roque juga telah menimbul masalah di mana sesiapa yang cuba memperjuangkan hak tahanan akan di label juga sebagai pengganas dan turut dihukum.
Beliau merujuk kepada kes Anwar Al-Awlaki seorang rakyat Amerika yang terbunuh akibat serangan terancang Amerika menggunakan sebuah dron di Yemen.
Prof Roque berkata apa pun yang hendak dilakukan hak asasi manusia perlu dihormati dalam memerangi keganasan. Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof Dr. Aishah Bidin, pensyarah dan pelajar turut hadir.