Universiti Di Malaysia Harus Lebih Prihatin Terhadap Siswa OKU
Berita dan foto oleh: Nurul Safaniza Che Ani, LESTARI dan Sri Hani Muhammad
BANGI, 15 Ogos 2012 – Kajian yang dijalankan suatu rombongan mahasiswa Rakan Muda UKM mendapati universiti di Australia amat prihatin terhadap mahasiswa OKU mereka berbanding dengan apa yang disediakan oleh universiti di Malaysia.
Rombongan seramai 13 orang mahasiswa Rakan Muda UKM itu telah meninjau kemudahan yang disediakan oleh empat buah universiti awam di Melbourne kepada pelajar OKU mereka.
Ia dipimpin Penasihat Rakan Muda UKM, Nurul Safaniza Che Ani, Penolong Pendaftar di Lestari (Institut Alam Sekitar dan Pembangunan) dan Timbalan Pengetua Kolej Ibu Zain, Nik Mohd. Noor Faizul Mohd Saad.
Peninjauan mereka itu adalah dalam rangka program kembara ilmiah dan mereka telah meninjau persoalan itu di Universiti Melbourne, RMIT (Royal Melbourne Institute of Technology), La Trobe dan Universiti Monash.
Kajian mereka meliputi isu dan permasalahan, polisi, serta tahap pengurusan kemudahan pelajar OKU melalui sesi diskusi, pemerhatian dan interaksi bersama pelajar-pelajar di sana dalam usaha mengumpul maklumat.
Rombongan itu juga telah mengadakan sesi konsultasi di pejabat pengurusan DLU (Yunit Hubungan Kurang Upaya)) di dalam kampus yang mengurus permasalahan mahasiswa OKU bagi menjamin pembelajaran mahasiswa OKU mereka terbela.
Mereka mendapati keempat-empat universiti itu amat prihatin terhadap pelajar OKU dengan menyediakan berbagai kemudahan membantu pengajian mereka itu.
Antara kemudahan yang disediakan termauk teknologi seperti JAWS (perisian membaca skrin), DRAGON (perisian mengecam suara) dan beberapa kemudahan lain yang disediakan secara percuma kepada mahasiswa yang memerlukan. Kemudahan itu telah membantu pelajar OKU mereka belajar.
Peninjauan mereka mendapati wujud kesedaran yang tinggi di kalangan pelajar dan pegawai dan pelaksanaan undang-undang yang berstruktur membantu menangani isu golongan kurang upaya di Melbourne.
Tinjauan itu memberi gambaran seolah universiti di Malaysia kurang prihatin terhadap pelajar OKU dan amat ketinggalan untuk menyediakan kemudahan fizikal termasuk ruang pentadbiran dan lain-lain kemudahan yang boleh membantu pembelajaran pelajar OKU.
Mereka telah pun menyampaikan laporan hasil tinjauan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Pelajar UKM yang antara lain mengesyurkan kemudahan sebagaimana disediakan oleh universiti di Melbourne itu patut diadakan di UKM kiranya mahu menggalakan lebih ramai OKU melanjutkan pelajaran di universiti.