Canselor UKM Seru Usaha Mengkomersilkan Hasil Penyelidikannya Digalakkan

KHAMIS, 04 OKTOBER 2012 00:00

Oleh Rejal Arbee

BANGI, 2 Okt 2012 – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mahu usaha mengkomersilkan penemuan penyelidikan di universiti itu digiatkan untuk menghasilkan kekayaan.

Usaha itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi negara bahkan boleh memberi faedah kepada universiti dan warga penyelidiknya.

Baginda berkata dalam usaha mengkomersilkan penemuan penyelidikannya ia perlu juga memilih kaedah terbaik bagaimana ia boleh memindahkan teknologi penemuannya itu.

Tuanku Muhriz yang juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Undang-undang Tuanku Jaafar yang ketiga mengenai “Academic Entepreneurship and University Start-Ups” disini hari ini.

Persidangan itu adalah anjuran bersama Fakulti Undang-Undang, Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS (CESMED UKM), Institut Kajian Asia Barat (IKRAB) UKM, Pusat Inovasi Kolaboratif(PIK), UKM Technology Sdn. Bhd dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ia dihadiri sekitar 160 peserta terdiri dari pengamal undang-undang, pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ahli akademik dan pelajar undang-undang dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Hong Kong, China, Iran, Uganda dan United Kingdom.

Baginda berkata UKM sebagai salah sebuah daripada universiti penyelidikan yang unggul sedang menggalakan usaha memupuk budaya keusahawanan dikalangan warganya serta bergiat mengkomersilkan hasil penemuan penyelidikannya.

Usaha demikian itu perlu dibincangkan secara mendalam antaranya apakah universiti patut memberi tumpuan kepada penyelidikan jangka panjang sahaja atau berkisar juga kepada penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersilkan.


Antara isu lain yang perlu diberi perhatian termasuk bagaimana  menarik minat swasta untuk membiayai sesetengah penyelidikan yang dilakukan dan usaha mengkomersilkan penemuan penyelidikan.

Persidangan juga boleh meneliti apakah usaha ketiga universiti dalam mengusahakan penyelidikan akan menjejas tugas utamanya memberikan pelajaran dan meningkatkan daya intelek.

Cabaran yang dikemukakannya adalah antara apa yang dihadapi oleh semua pengurusan universiti penyelidik yang bercita-cita mewujudkan budaya keusahawanan dalam kampus masing-masing, kata baginda.

UKM walau pun sudah menyediakan berbagai galakan untuk memupuk budaya keusahawanan dikalangan warga akademiknya perlu juga mengetahui kedudukan usahanya itu serta melihat kejayaan program menubuhkan syarikat terbitannya.

Antaranya termasuk galakan kepada penyelidikan, dana untuk usaha itu dan prasarana yang diperlukan dan kejayaan program insentif yang telah dijalankan.

Hala tuju bagi UKM adalah meneroka usaha itu supaya boleh dicontohi universiti lain, kata Tuanku Muhriz.

Baginda kemudiannya telah merasmikan bangunan baru Mahkamah Moot Fakulti Undang-undang dan menghadiri suatu ‘perbicaraan’ yang sedang berlangsung di situ.