Fakulti Sains Kesihatan Diminta Kekalkan Reputasi Unggulnya

KHAMIS, 18 OKTOBER 2012 19:02

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 15 Okt 2011- Penyelidik dan ahli akademik di Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digesa sentiasa peka dengan arus perubahan dan bekerja keras agar dapat mengekalkan kedudukan terkehadapannya.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. M. Zawawi bin Ismail sambil berbangga dengan reputasi fakulti itu yang menjadi ikutan, berkata kejayaan lampau tidak menjanjikan kedudukan unggulnya dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Merasmikan sambutan ulang tahun FSK yang ke 20 di sini hari ini, beliau berkata FSK telah memberi sumbangan besar dalam bidang sains kesihatan kepada negara hingga diberi pengiktirafan kerana mencapai kejayaan dalam bidangnya disamping melakukan berbagai penemuan dan inovasi bertaraf dunia.

Antaranya ialah penemuan untuk mengembalikan tulang yang mengalami osteoporosis kepada keadaan asal dengan menggunakan vitamin E yang berasaskan minyak sawit, melawan kanser dengan alga, merawat sindrom metabolik yang menyebabkan penyakit gaya hidup dengan daun kadok, sejenis ulam.

Prof Zawawi juga menghuraikan beberapa inovasi yang sedang menunggu untuk dikomersialkan, seperti alat mengesan kanak-kanak yang mengalami disleksia, pencegah nyamuk dari herba tempatan dan banyak lagi penemuan dan inovasi yang masih menunggu menerima paten.

Ini, tambah beliau, hanyalah beberapa pencapaian yang tidak diketahui oleh masyarakat.

Dengan kedudukan dan reputasi yang menjadi ikutan demikian, orang ramai mengharapkan yang terbaik dalam program yang ditawarkan serta khidmat yang diberikan dan ia perlu boleh menduga keperluan masyarakat yang kini semakin bijak.

FSK juga perlu terus mengorak langkah ke hadapan bagi kepentingan rakyat dan perlu mengekalkan kelebihan daya saingnya serta mengekalkan kelebihan kompetitifnya agar ia tidak dilupakan.

 

Prof Zawawi turut mengingatkan fakulti sentiasa berwaspada terhadap impak media sosial yang boleh menjejaskan reputasi yang telah dibina sekian lama kalau pun hanya terdapat seorang sahaja pekerja atau pelajar yang tidak diberikan layanan yang adil.

Melalui media sosial sebarang rungutan dan rasa tidak puas hati dapat diluahkan dan akan tersebar luas ke seluruh dunia . Ini boleh menjejaskan reputasi yang dibina sekian lama tanpa mengambil kira sama ada luahan dan aduan itu benar atau tidak.

Jadi pihak fakulti patut mengambil kesempatan dan menggunakan media sosial untuk mengharumkan namanya dan membuka ruang untuk kolaborasi.

Hadir di sambutan tersebut adalah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan FSK, Prof Dr Siti Zamratol Mai Sarah Mukari, penyelidik, ahli akademik dan pelajar.