Lebih Banyak Penyelidikan Diperlukan Dalam Bidang Toksikologi
By Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 4 Okt 2012 – Makanan, ubatan, bahan kimia, kosmetik dan juga produk herba malah apa saja barangan makanan dan yang diguna manusia boleh bertukar menjadi toksik yang merbahaya dan memudaratkan.
Atas dasar ini suatu Kongres Toksikologi Kebangsaan 2012 telah diadakan di sini hari ini bertujuan mengkaji keperluan penyelidikan diadakan dalam bidang toksikologi yang semakin meruncing.
Ia dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), University Malaya (UM), Kyoto University dan Japan Society for the Promotion of Science berlangsung di Royal Chulan Hotel di sini.
Ia telah membawa ramai pakar toksikologi antarabangsa untuk berkongsi maklumat dan penemuan mereka.
Bertemakan ‘Toksikologi: Dari Mekanisme kepada Peraturan’ ia bertujuan melihat masalah yang mungkin timbul serta mencari penyelesaian, sama ada melalui peraturan atau dengan cara lain untuk memastikan produk masa hadapan adalah selamat untuk digunakan manusia.
Pengerusi Majlis Professor Negara, Professor Emeritus, Dato’ Dr Zakri Abdul Hamid yang merasmikan persidangan itu berkata landskap saintifik menjanjikan peluang yang banyak dengan kewujudan teknologi baru. Bagaimana pun teknologi itu mungkin akan memberi impak negatif kepada kesihatan manusia misalnya bahan yang dihasilkan melalui nanoteknologi .
Beliau berkata penyelidikan untuk meningkatkan kefahaman hubungan di antara bahan kimia dan impak kesihatan yang negatif adalah amat perlu untuk merancang prioriti dan menilai keberkesanannya.
Seorang pakar toksikologi dari Leicester University, Dr Lewis Smith dalam pembentangannya berkata sesuatu bahan yang boleh bertindak sebagai penawar mungkin akan bertukar menjadi sesuatu yang memudaratkan bergantung pada kadar dosejnya. Maka itu kadar toksik amat penting diketahui dan dinilai.
Beliau mengingatkan apabila sesebuah negara merangka sesuatu peraturan mengenai toxik, peraturan mengenai penggunaannya harus bersikap sederhana, kerana ia akan memberi impak kepada penemuan baru.
Presiden Persatuan Toksikologi Malaysia, Prof Dr Chow Sek Chuen menggesa agar industri oleo kimia yang berasaskan kelapa sawit menjalankan kajian toksikologi.
Beliau memberitahu satu sidang media di situ bahawa kimia oleo digunakan secara meluas hari ini dan adalah amat perlu penyelidikan dijalankan mengenai tahap toksiknya serta impak yang dibawanya.
Kajian toksik dalam industri tersebut boleh mengesahkan manfaat yang didapati dari bahan kimia oleo.
Menjelaskan mengenai bahan makanan tambahan yang semakin banyak digunakan seperti suplemen dan produk herba, beliau berkata produk itu dapat mengelak dari pengawasan undang-undang yang ketat kerana ia dipasarkan sebagai makanan tambahan.
Ia mungkin hanya melibatkan vitamin dan mineral yang tidak memudaratkan tetapi penyelidikan harus dijalankan bagi mengkaji kesan jangka panjang produk demikian, katanya.
Secara keseluruhan bidang toksikologi menawarkan potensi yang besar dalam penyelidikan dan sebarang penemuan hasil penyelidikan ke atasnya boleh mempengaruhi penggubalan undang-undang.
Pengerusi jawatan penganjur yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Prof Dr Salman H Inayat Hussain, pakar toksikologi antarabangsa serta pihak yang berminat dalam bidang itu telah menghadiri persidangan sehari itu.