Minggu IKRAB Rapatkan Hubungan Pelajar Antarabangsa Dan UKM.
Oleh: Nur Diyana Mohamad & Najihah Hamidin, Pelajar Latihan Industri UUM.
Foto : Izwan Azman
BANGI, 17 Okt 2012 – Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) telah mengadakan “Minggu Ikrab 2012” baru-baru ini untuk mengeratkan lagi hubungan di antara pelajar, pensyarah dan kakitangan IKRAB sepanjang lima tahun penubuhannya.
Program yang julung kali diadakan itu melibatkan pelbagai acara menjurus kepada hal-hal berkaitan dengan negara-negara rantau Asia Barat termasuk mengadakan persembahan kebudayaan, seminar dan pameran.
Seorang pelajar Palestin, Aida Koni berkata program itu amat menarik kerana ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat dan memberi peluang warga rantau itu memahami budaya berbilang kaum Malaysia serta makanan tempatan.
Majlis penutup yang dimeriahkan dengan beberapa persembahan kebudayaan seperti sajak dan nyanyian lagu ‘Rasa Sayang Hei’ yang disampaikan oleh pelajar antarabangsa dan tempatan telah disempurnakan oleh Pengarah IKRAB, Profesor Dr. Siti Rugayah Hj. Tibek di Kolej Keris Mas.
Seminar Penyelidikan Pasca Siswazah IKRAB turut diadakan untuk pelajar IKRAB membentangkan kertas kerja mereka berdasarkan kajian yang mereka jalankan.
Ali Abdulkareem, pelajar dari Libya berharap program demikian dapat diadakan dengan besar-besaran pada tahun akan dating supaya warga UKM dapat turut serta dan memahami budaya negara-negara Asia Barat.
Fatma Taufik, seorang pelajar dari Indonesia berkata, program itu membantu beliau memahami pelbagai jenis budaya negara-negara Asia Barat.