Peluang Pekerjaan Oleh Syarikat Tempatan Harus Digalakkan Supaya Tidak Bergantung Kepada Pelaburan Asing
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 5 Okt 2012 – Syarikat tempatan disaran meningkatkan peluang pekerjaan supaya negara tidak perlu terlalu bergantung kepada pelaburan asing.
Ini adalah kesimpulan dari suatu forum ekonomi yang membincangkan bajet 2013, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Ia adalah forum ekonomi pertama yang dianjurkan oleh Kolej Dato ‘Onn, mengenai Bajet 2013 yang dibentangkan baru-baru ini atas tajukMelahirkan Warga UKM yang Cakna Ekonomi.
Ahli panel forum bersetuju bahawa ekonomi Malaysia adalah kecil dan terbuka hingga amat bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Mereka mengakui langkah-langkah untuk menjana pelaburan harus menjurus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara, berkata beliau telah menjejaki pertumbuhan ekonomi negara sejak tahun 1989 dan mendapati bahawa ia adalah selaras dengan trend global. Oleh itu masalah yang dihadapi adalah juga ekoran tercetusnya krisis kewangan dunia.
Prof Noor Azlan, yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UKM berkata bahawa kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak langkah yang membawa faedah secara menyerap kepada rakyat supaya mereka dapat bersedia menghadapi kegawatan ekonomi masa depan.
Forum itu dipengerusikan oleh Prof Dr Mansor Jusoh dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Ahli-ahli panel lain adalah Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) dan Profesor Dr Mohd Fauzi Jani, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (UKM-CESMED).
Beliau berkata sebahagian besar dari kemampanan ekonomi Malaysia pada masa depan akan bergantung kepada keupayaan untuk mendapatkan semula momentum pertumbuhan, yang beliau meramalkan untuk tahun ini kira-kira 5.8% – rendah daripada 6.0% yang diunjurkan kerajaan.
Apa yang Malaysia boleh lakukan adalah bersedia untuk kitaran turn-naik ekonomi dunia dengan mengamalkan jimat-cermat dalam perbelanjaan pada masa yang mencabarkan.
Beliau menjelaskan bahawa ketidaktentuan global dan pertumbuhan domestik merupakan beberapa isu yang mungkin merumitkan keadaan tahun depan. Memandangkan mungkin sukar untuk menarik lebih ramai pelabur asing, negara perlu bergerak ke arah menjana aktiviti ekonomi dalamannya.
Prof Fauzi, pula mencadangkan universiti-universiti tempatan membantu menjana pelaburan dalaman yang amat diperlukan dengan melabur dalam bidang pertanian bersama industri kecil dan sederhana.
Beliau bimbang dengan keadaan di mana pertanian telah diabaikan dalam tahun-tahun kebelakangan ini walhal kos import makanan Malaysia semakin meningkat.
Beliau memuji Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Ser Najib Tun Razak kerana memperuntukkan RM1 bilion untuk PKS untuk membantu mereka mengurangkan defisit bajet.
Prof Fauzi berkata beban yang paling dirasai oleh pengguna adalah kenaikan harga makanan, yang dikaitkan dengan kenaikan kos mengimport. Rakyat biasa bimbang bahawa gaji mereka tidak dapat menampung kos hidup akibat kenaikan harga barang walaupun kerajaan cuba untuk meredakan kebimbangan rakyat.
Prof Fauzi berkata China adalah satu-satunya negara yang mungkin boleh berjaya mengharungi kegawatan itu, kerana ia mempunyai rizab pertukaran wang asing yang terbesar di dunia. Hakikatnya China mampu menyelamatkan ekonomi Amerika dengan membeli bon Amerika Syarikat dua tahun lalu.
Seorang lagi ahli panel, Datuk Dr Denison, yang juga seorang aktivis Hak Asasi Manusia, berkata rakyat biasa pasti menghargai Bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua yang diumumkan dalam bajet, untuk meringankan bebanan mereka sekarang.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan bahawa jurang perbezaan pendapatan antara yang berada dengan yang kurang berada dalam masyarakat semakin ketara.
Felo penyelidikan utama itu mencadangkan supaya kerajaan mengelakkan daripada mewujudkan budaya terlalu bergantung secara automatik kepada bantuan dalam bentuk wang tunai segera, atau bonus untuk kakitangan kerajaan.
Adalah lebih baik bagi kerajaan mengadakan langkah-langkah jangka panjang dengan mewujudkan peluang pekerjaan oleh industri tempatan untuk membantu mengurangkan defisit bajet.
Banyak wang boleh dijimatkan jika ada langkah serius untuk membanteras rasuah dan ketidakcekapan dalam kerajaan, kata Dr Denison.