Penyelidik Malaysia Ditawar Kerjasama Dengan Syarikat Universiti Oxford
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 3 Okt 2012 – Penyelidik di Malaysia termasuk saintis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ingin memperkenalkan produk ciptaan dan inovasi mereka ke dunia dipelawa mengadakan usahasama dengan sebuah syarikat pemindahan teknologi dari Universiti Oxford.
Syarikat itu, ISIS Inovasi Ltd, menawarkan syarat yang saksama untuk para saintis dan pencipta untuk menarik lebih ramai pencipta di rantau ini bekerjasama dengannya.
Perunding Kanannya, Terry Pollard berkata ISIS telah menyelidik peluang perniagaan di Malaysia sebelum ini dan telah menerima sambutan yang menggalakkan.
Beliau telah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengkomersialan Teknologi di Universiti Oxford’ di Persidangan Undang-undang Tuanku Ja’afar ke tiga di sini hari ini. Persidangan dan bengkel itu berakhir hari ini.
Pollard berkata ISIS akan membantu penyelidik dan saintis mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka. Beliau adalah antara enam peserta yang menyampaikan ucaptama mereka pada persidangan dan bengkel dua hari itu.
Persidangan itu disertai ahli akademik, usahawan, wakil kerajaan dan industri untuk bertukar pandangan dan membahaskan isu-isu dalam bidang keusahawanan akademik dan syarikat terbitan universiti.
Pollard berkata ISIS bersedia untuk menyokong penyelidik yang berminat memindahkan teknologi dan mengakui para saintis berhak merasa curiga apabila menerima tawaran kerjasama.
Mereka sepatutnya tidak tergesa-gesa untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan mereka hingga mengabaikan isu-isu etika dan perundangan.
Pollard berkata beliau telah menjelajahi seluruh dunia untuk mencari rakan kongsi untuk ISIS dan berhasrat mengadakan perkongsian kukuh dan tahan lama dan bukan hanya untuk mencari duit pada jangka pendek sahaja.
Ditubuhkan pada tahun 1987, ISIS kini menerajui tujuh atau lapan syarikat terbitan setiap tahun. Sebelum wujudnya ISIS, Universiti Oxford hanya dapat menubuhkan sebuah syarikat terbitan sahaja setiap dua tahun untuk mengkomersilkan hasil penyelidikannya.
Beliau mengakui penyelidik menghadapi banyak masalah mengkomersilkan ciptaan mereka kerana kurang pengalaman berniaga dan tidak tahu bagaimana hendak memasarkan apa yang mereka cipta atau temui, kata Pollard.
ISIS mulanya telah memberi tumpuan kepada membangunkan syarikat di Oxford sahaja, tetapi kini berkhidmat dari perspektif global.
Ia telah membantu membangunkan projek-projek dalam banyak bidang, termasuk mereka yang terlibat dengan tenaga gelombang laut, kimia dan alat-alat perubatan dan vaksin. ISIS, katanya, cuba membawa teknologi kepada masyarakat.
Universiti Oxford menyalurkannya kira-kira 2.5 juta pound sterling (RM 12.5 Juta) setahun untuk mengkomersilkan paten diperolehinya. Pulangan dari pengkomersilan paten itu dimasukkan ke perbendaharaan universiti.
Pollard berkelulusan MBA dari Imperial College London dan mempunyai latar belakang dalam perundingan perniagaan dan pernah menjalankan perniagaan teknologinya sendiri.