PPUKM Terpilih Laksanakan Program Sekolah Dalam Hospital
Oleh Harun Bintang Jabatan Perhubungan Awam HUKM
Foto Noorashikin Yusof Jabatan Multimedia dan Penyaiaran
PUTRAJAYA, 16 Okt 2012 – Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah dipilih sebagai salah satu daripada hospital pengajar yang menyediakan kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan.
Dilaksanakan di bawah projek ‘Hati Nurani’ Kementerian Pelajaran yang diilhamkan Puan Seri Norainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, Sekolah Dalam Hospital (SDH) itu bertujuan memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti.
Satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan projek itu telah ditandatangani Jumaat lalu (12 Okt) antara Kementerian Pelajaran dengan PPUKM dan Yayasan Yaqeen di Hotel Shangri-la di sini.
PPUKM adalah antara empat buah SDH yang menjadi perintis kepada projek itu.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed; Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Datuk Dr Ismail Ibrahim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen.
Tan Sri Mahyuddin yang juga Menteri Pelajaran berucap di majlis itu berkata sejak dilaksanakan tahun lepas seramai 6,550 pelajar telah mendapat manfaat daripadanya di keempat-empat hospital itu termawuk Hospital Serdang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.
“Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid pesakit mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.
Beliau meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.
Tiga lagi hospital bakal dijadikan SDH ia itu Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
Majlis dihadiri Puan Sri Noorainee, penaung Projek ‘Hati Nurani’; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Menteri Pelajaran’ Datuk Dr Ir Wee Ka Siong; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud dan Prof Dr Zarina Abdul Latif, Ketua Jabatan Pediatrik, PPUKM.