Produk Berasaskan Penyelidikan Perlu Dijual Dengan Harga Berpatutan
Foto PKK dan Unit Foto Penerbit
BANGI, 20 Okt 2012 –Produk yang diasaskan daripada inovasi dan penyelidikan harus dijual pada harga berpatutan untuk dapat dipasarkan, kata seorang penerima anugerah Ijazah PhD Kehormat dari Universiti Kebangsaan hari ini.
George P. Korfiatis, Professor, Pentadbir (Provost) dan Naib Presiden Stevens Institute of Technology dari Amerika Syarikat berkata bagaimana hebat sekali pun sesuatu inovasi atau rekaan teknologi kiranya produknya terlalu mahal hingga tidak mampu dibeli orang ramai ia tidak akan memanfaatkan sesiapa.
Dalam satu temubual dengan Portal Berita UKM selepas menerima penganugerahannya itu Prof Korfiatis berkata inovasi perlu mengambil kira kosnya yang berpatutan.
Anda mungkin mempunyai inovasi atau rekaan teknologi yang hebat tetapi ia tidak akan memanfaatkan sesiapa sekiranya ia terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh orang yang memerlukannya, kata beliau
Prof Korfiatis telah menerima anugerah Ijazah kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan dan Inovasi) daripada Pro Canselor UKM, Tengku Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Rithauddeen Al-Haj di sesi kedua Konvokesyen ke 40 UKM di sini hari ini.
Beliau berkata inovasi yang murah tidak bermakna ia gagal memberi pulangan bahkan sebaliknya kerana ia mampu dimiliki ramai, ia boleh memberi pulangan yang besar.
Beliau memberi contoh bagaimana teknologi penyucian air yang dicipta SIT telah berjaya dipasarkan di Bangladesh. Pada mulanya kos teknologi itu terlalu tinggi untuk di jual kepada penduduk Bangladesh. Tetapi rakyat Bangladesh itu memerlukan teknologi itu kerana kebanyakan air telaga di sana dicemari racun arsenik.
Setalah berusaha selama tiga tahun, Prof Korfiatis dan pasukannya berjaya mengurangkan kos teknologi itu secara drastik hingga mampu dimiliki oleh isi rumah Bangladesh.
Prof Korfiatis telah memperkukuhkan kerjasama dan hubungan antara UKM dan SIT. Usaha pembangunan modal insan yang dijalankannya di UKM yang berpaksikan kepada Keusahawanan Akademik telah banyak membantu UKM mengkormersilkan penyelidikannya.
Beliau berkata proses pengkomersilan adalah suatu proses yang panjang dan konsep keusahawanan akademik adalah sesuatu yang agak baru.
Menyorot kepada pengalamannya, beliau berkata apabila konsep itu mula diperkenalkan ia sukar diterima kerana apabila kami memberi suatu hujah yang kukuh terhadapnya anggota akademik lain boleh memberi lima hujah bertentangan.
Tetapi selepas 20 tahun mereka telah berjaya membuktikan bahawa keusahawanan dan akademik adalah perlu bukan sahaja untuk memanfaatkan penyelidikan tetapi membolehkannya dinikmati mereka yang memerlukannya.
Beliau berkata UKM berada di landasan yang betul terutamanya kesedaran terhadap mengkomersilkan inovasi dan penyelidikan. Tetapi perjalanannya masih jauh.
Beliau menasihati Malaysia berusaha mengadakan inovasi dalam bidang pertanian sambil merancakkan inovasi dalam bidang teknologi.