Universiti Disyor Sediakan Kurikulum Seimbang Supaya Graduan Hargai Kesenian Dan Warisan Budaya
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto PKK, Unit Foto Penerbit UKM
BANGI, 23 Okt, 2012 – Kunci untuk segala pembaharuan dalam pengajian tinggi terletak pada sikap pensyarah dan kurikulum universiti yang seimbang bagi memudahkan graduan mendapat pekerjaan.
Tokoh pendidikan, Profesor Dr Robiah Sidin sambil menekankan pentingnya peranan pensyarah, berkata mereka seharusnya sanggup berubah daripada amalan lama kepada yang terkini dan lebih positif.
Ketika memberi ucap balas selepas menerima gelaran Profesor Emerita dari Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pada sidang ke-8 dan terakhir Konvokesyen UKM ke 40 hari ini, beliau berkata pensyarah juga perlu mengguna cara pengajaran yang mudah difahami remaja.
Prof Robiah dikenali sebagai seorang tokoh pendidikan berkata siswa perlu ditawarkan kursus yang membantu mereka memenuhi tuntutan pasaran kerja.
Maka itu kelemahan pelajar dalam bahasa Inggeris perlu ditangani secepat mungkin kerana ia memberi kesan buruk dalam usaha graduan mencari pekerjaan dengan pendapatan yang baik.
Universiti, katanya, perlu melakukan lebih untuk membentuk seorang individu yang matang dan warganegara yang berguna dengan mengembangkan potensi intelek mereka dimana siswa juga perlu digalakkan mempunyai perasaan menghargai kesenian, estetika serta warisan budaya tempatan.
Prof Robiah berkata universiti harus meluaskan sikap berdikari dan perasaan toleransi serta menyedarkan pelajar dengan masalah-masalah setempat. Peranan demikian boleh mencorakkan aktiviti akademik dengan keadaan sosial dalam kampus.
Dalam rangka penyelidikannya, Prof Robiah telah menemui beribu-ribu penuntut dan pelajar yang memang bersemangat untuk mengejar ilmu.
Prof Robiah bermula dengan kelulusan diploma pendidikan dari Universiti Malaya pada tahun 1963 dan menjadi guru sekolah menengah pada tahun 1966 sebelum dilantik sebagai pegawai penuntut di Malaysia Hall di London pada tahun 1968.
Beliau mula bertugas di UKM sebagai tutor pada tahun 1972 hingga terus dinaikkan pangkat sebagai profesor pada tahun 1993.
Kecemerlangannya dalam dunia pendidikan melayakkannya memperolehi biasiswa dari Ohio University dan UKM untuk pengajian ke peringkat Doktor Falsafah.
Prof Robiah bertugas dalam pelbagai jawatan di UKM termasuk Dekan Fakulti Pendidikan dan Felo Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sehingga 2008 dan muncul sebagai seorang tokoh pendidik yang terkenal.