Bahasa Yunani Dan Latin Mengilhamkan Penemuan Sains Hingga Sekarang
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 14 Sep 2012 – Sejak 2,500 tahun lalu ahli sains Eropah dan cendekiawan Muslim mendapat ilham hasil karya saintifik dalam bahasa Yunani dan Latin.
Seorang pengajar bahasa klasik barat dari Singapura, Tai Yu Hsiang yang mengajar bahasa Yunani dan Latin di republik itu, berkata malahan tokoh-tokoh moden seperti Albert Einstein dan Mark Zuckerberg, pengasas Facebook, pun mendapat ilham daripada tokoh-tokoh Yunani dan Romani zaman kuno.
Tai berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum mengenai Kepentingan Bahasa Latin dan Yunani Kuno dalam Kajian Barat. Ia dianjurkan oleh Institut Kajian Oksidental (IKON) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Beliau berkata tokoh-tokoh Sains Arab, Afrika Utara dan Asia Tengah abad ke-7 hingga ke-12 Masehi menterjemahkan karya-karya Aristotle, Plato, Socrates, Zeno dan Ptolemy kepada bahasa Arab dan Parsi supaya warga senegara mereka boleh belajar daripada falsafah Yunani kuno.
Tai menjelaskan bahawa selepas belajar matematik dan falsafah Yunani, ulama dan saintis Islam kemudian menunjukkan keunggulan mereka dan membuat penemuan sains mereka sendiri
Umpamanya, Ibn Sina atau Avicenna, tokoh sains, ahli falsafah dan doktor terhutang budi kepada Aristotle, pemikir Yunani yang mengarang buku-buku mengenai kaji bintang, fizik, perubatan dan alkimia. Ibn Sina menulis Kanun Perubatan pada abad ke-11 yang juga telah diguna pakai di Barat.
Ahli falsafah dan jurutera mekanikal dari Syria, Al-Jazari telah mengkaji buku falsafah Yunani Zeno yang didapati dalam kedua-dua bahasa Yunani asal dan Latin pada abad ke-12. Al-Jazari juga meminati ciptaan Hero yang berasal daripada Iskandariah yang dipercayai telah mencipta enjin wap panas. Al-Jazari pula mengatasi Hero apabila mencipta kincir angin dan roda air menggunakan sistem gear sebelum Barat menggunakan teknologi itu.
Tai berkata sejak 400 tahun yang lalu, ahli-ahli falsafah Eropah seperti Isaac Newton, Galileo Galilee dan Rene Des Cartes mengkaji karya Yunani dan Latin dan menghasilkan kajian mereka sendiri mengenai Matematik dan Logik.
Di Barat beratus tahun dahulu semua pengamal sains dan cendekiawan terpaksa belajar bahasa Yunani dan Latin untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Malahan pada zaman moden tokoh Fizik Albert Einstein mengakui mendapat inspirasi daripada ahli falsafah kuno Yunani.
Beliau berkata pengaruh klasik itu berterusan hingga ke era digital sekarang. Misalnya Mark Zuckerberg seorang pereka perisian komputer Amerika dan usahawan Internet yang mengasaskan laman web sosial Facebook pernah berkata beliau belajar bahasa Yunani dan Latin untuk menjadi pintar dalam kajian komputer.
Tai menerima ijazah Sarjana Sastera dalam Yunani dan Latin dari Universiti Glasgow, Britain. Ijazah pertamanya adalah dalam Teknologi Maklumat dari universiti yang sama.