Pelbagai Dimensi Kepelbagaian Perlu Diberi Perhatian Dalam Sistem Pendidikan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Raai Osman, Penerbit UKM
BANGI, 19 Sep 2012 – Sesuatu Sistem Pendidikan perlu mengambil kira kepelbagaian yang wujud dalam sesebuah negara termasuk perbezaan sosio-ekonomi, budaya, kaum serta jantina.
Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, wujudnya pelbagai dimensi kepelbagaian itu perlu diberi perhatian.
Beliau memberikan ucaptamanya ketika merasmikan Persidangan ketiga Kepelbagaian Pembelajaran Antarabangsa (ICLD), di UKM di sini hari ini.
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) itu berkata kepelbagaian pelajar termasuk perbezaan dalam kumpulan dari segi budaya, etnik, jantina, pengalaman pendidikan sebelumnya dan kaedah pembelajaran yang optimum.
Sebagai seorang ahli sosiologi beliau berkata terdapat juga kumpulan pelajar yang berhadapan pelbagai cabaran unik, termasuk kemiskinan tegar, Bahasa Inggeris yang lemah dan pelajar kurang upaya.
Kepelbagaian pembelajaran, katanya, adalah kajian mengenai cara terbaik untuk berurusan dengan perbezaan yang luas itu. Jantina, kaum dan jurang yang luas antara kaya dengan miskin sering dipetik sebagai faktor utama dalam kepelbagaian pelajar.
Dalam pemerhatian beliau, kini terdapat lebih ramai pelajar perempuan dalam universiti di Malaysia. Bagaimana pun ia adalah sejajar dengan trend dalam masyarakat lain di seluruh dunia.
Kepelbagaian, katanya, terus merupakan satu ciri di seluruh dunia dan amat jelas diperhatikan di Malaysia yang berbilang kaum. Cabaran ini telah membawa wawasan baru bagi masyarakat dunia untuk memahami dan bertindak balas kepada perbezaan bangsa, budaya, kelas dan keupayaan.
Prof Shamsul berkata bahawa semua pelajar mesti dididik berasaskan kandungan piawaian akademik yang akan membolehkan mereka untuk menjadi lebih mahir.
Namun, realiti kepelbagaian pelajar mencabar sistem untuk menyediakan program yang memenuhi keperluan pelajar di mana mereka berada dan mempercepatkan pembelajaran mereka untuk merapatkan jurang pencapaian.
Persidangan itu dianjurkan Pusat Kecemerlanga untuk Kepelbagaian Pembelajaran (CELD), Fakulti Pendidikan UKM. CELD menyokong penyelidikan, rangkaian, perundingan, dialog intelektual dan amalan berkesan berhubung kepelbagaian pelajar. Persidangan itu diadakan dua tahun sekali sejak 2008.
Beliau menyatakan harapannya pengamal pendidikan, tokoh akademik dan pelajar yang mengambil bahagian tabah menghadapi cabaran untuk bertindak balas terhadap keperluan pelbagai pihak yang berkepentingan.
Kertas Kerja oleh peserta persidangan yang terpilih akan diterbitkan dalam jurnal bertaraf tinggi. Semua kertas, bagaimanapun, diedarkan dalam persidangan itu.