Pemilihan Pelajar Berjalan Lancar

KHAMIS, 27 SEPTEMBER 2012 12:45

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 Sept 2012 – Pemilihan perwakilan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjalan lancar tanpa terdapat hal-hal yang tidak diingini, hasil kerja keras Bahagian Keselamatan UKM.

Walaupun terdapat beberapa situasi yang agak tegang apabila pelajar berkempen di pusat pendaftaran calon, ianya telah dapat dikawal baik secara berhemah oleh pihak keselamatan UKM.

Keadaan tegang berlaku ketika berkempen oleh penyokong-penyokong calon pada malam sebelum hari pengundian tetapi ia dapat diredakan dengan pendekatan diplomatik yang digunakan oleh Pengarah Bahagian Keselamatan, Lt Kol (B) Jury Tasripan.

Walaupun terdapat saat-saat tegang pada hari pendaftaran calon tetapi secara keseluruhannya keadaan terkawal berkat kerjasama dari semua pelajar yang patuh kepada arahan apabila berlaku sesuatu yang didapati melanggar peraturan.

Ini sememangnya pendekatan yang digunakan oleh warga keselamatan selama ini yang telah banyak menyumbang kepada keselamatan dan keamanan di dalam kampus.

Perkara keselamatan adalah salah satu isu yang dibangkitkan oleh pelajar semasa berkempen. Lain-lain isu yang diketengahkan termasuk gangguan bekalan air, soal menyediakan tempat tinggal yang lebih baik untuk pelajar termasuk juga sambungan internet. Kesemua isu itu adalah bersangkutan dengan kebajikan pelajar.

Calon-calon dari kedua kumpulan, Promahasiswa dan Aspirasi menunjukkan mereka mempunyai prioriti yang sama iaitu kebajikan pelajar walau pun mempunyai pendekatan berbeda.

Secara keseluruhan kedua-dua pihak bertindak dengan baik dan tidak melampaui batas.

 

Sejumlah 19 kerusi dipertandingkan di peringkat fakulti dan 9 kerusi umum.

Sejumlah 75.96% daripada yang layak mengundi telah membuang undi berbanding 74.40 % pada tahun lalu.

Keputusan diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Dr Othman A. Karim pada 11.30 malam. Keputusan yang lengkap boleh dicapai di https://smp.ukm.my/mpp/index.cfm