Penyelidik Manuskrip Purba Melayu Terhutang Budi Kepada Ahli Akademi Australia
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
Foto Dr Ian Proudfoot dengan ihsan Australian National University
BANGI, 25 Sep 2012 – Penyelidik manuskrip purba Melayu terhutang budi kepada seorang ahli akademik Australia yang telah membangunkan di internet suatu senarai sumber teks dan inskripsi Melayu bersejarah yang diketahui serta perisian komputer mengenai kajian itu.
Dr Annabel Teh Gallop, kurator untuk buku-buku bahasa Melayu di Perpustakaan British di London berkata hasil usaha mendiang Dr Ian Proudfoot itu yang menerima ramai penyumbang dari seluruh Dunia, berbagai pihak kini boleh mengakses maklumat manuskrip lama Melayu tanpa dikenakan bayaran melalui laman web Malay Concordance Project(MCP), mcp.anu.edu.au/.
Banyak bahan dalam MCP diterbit buat kali pertamanya dalam ruang siber.
Dr Gallop berkata Dr Proudfoot, yang meninggal dunia tahun lalu, juga mencipta perisian komputer untuk memudahkan sesiapa saja memahami perbezaan kalendar Melayu Islam dan kalendar Gregorian Barat.
Beliau memuji Dr Proudfoot kerana sanggup belajar teknologi maklumat dan bekerja seorang diri, hanya dengan bantuan anaknya, untuk membangunkan laman web yang mengandungi sumbangan dari ramai penyelidik manuskrip Bahasa Melayu.
Dr Gallop membuat penghuraian itu ketika menyampaikan syarahan umum bertajuk Seni Manuskrip Melayu: Satu penghormatan kepada Ian Proudfoot dan Malay Concordance Project yang dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Pengarah ATMA, Profesor Dr Abdul Latif Samian telah menyampaikan kata-kata aluan. Turut hadir balu Dr Proudfoot, Yook Proudfoot dan keluarganya.
Dr Proudfoot pernah menjadi Felo Pelawat di Pusat Kebudayaan, Sejarah dan Bahasa di Kolej Asia & Pasifik, Australian National University (ANU), di Universiti Malaya (UM) dan di National University of Singapore (NUS).
Katanya jasa mendiang juga amat nyata dalam usaha beliau mencipta perisian komputer pada tahun 2006 yang dapat menukar kalendar awal Islam dari Asia Tenggara kepada sistem moden untuk mengesan tarikh sesuatu manuskrip.
Sebelum kalendar Gregorian Barat digunakan, masyarakat Melayu tidak menggunakan sistem tarikh dan waktu yang seragam.
Perisian itu dinamakan Takwim dan ia diguna dalam pelayar web untuk menukar kalendar Jawa, Melayu dan Barat, serta tarikh Rukyah yang sama dengan penglihatan bulan untuk menentukan tarikh penting dalam masyarakat Islam. Perisian itu juga boleh didapati dalam bentuk CD-ROM dengan buku Old Muslim Calendars of Southeast Asia.
Sebelum itu, Dr Proudfoot juga telah mencipta perisian pada tahun 2002 yang dinamakan AHAD. Ia boleh diguna secara makro dengan Microsoft Word bagi menukar tarikh Islam dan Kristian dan sebaliknya.
Dalam usahanya mengumpul data mengenai manuskrip Melayu kuno, Dr Proudfoot juga merakamkan bahan percetakan Melayu awal dan yang paling lama berasal dari abad ke-17 dari Aceh, Sumatra.
Malay Concordance Project (MCP) dimulakan dalam bentuk percubaan pada tahun 1997 dan menerima sambutan hangat dari seluruh pelosok dunia apabila ramai tokoh akademik menyumbang manuskrip tanpa meminta apa-apa bayaran.
Penyelidik yang mahu menggunakan bahan itu hanya dikenakan syarat menyebut rujukan atau petikan sumber, iaitu MCP, dalam kertas penyelidikan mereka. Sejak kematian Dr Proufoot akibat penyakit barah, laman web MCP menjadi hak milik ANU. Dr Proudfoot dilaporkan masih bekerja memuat naikkan bahan untuk MCP dua minggu sebelum beliau meninggal dunia.
MCP mengandungi kebanyakan manuskrip dan bahan percetakan bahasa Melayu yang diketahui umum. MCP menerbitkan teks dokumen yang paling tua dalam bahasa Melayu tulisan Jawi, serta disalin ke tulisan rumi.
Ia adalah Batu Bersurat dari Terengganu yang diukir pada abad ke-14 Masehi. Ia ditemui oleh seorang pegawai British hampir 90 tahun lalu dan diterjemahkan ke Bahasa Inggeris untuk memudahkan rujukan. MCP juga mengandungi artikel yang dicetak dalam risalah dan akhbar pada kurun ke-19 dan lidah pengarang akhbar tahun 1930an.
Menurut Dr Gallop, tanpa MCP, agak sukar untuk bagi seorang penyelidik atau pengkaji bahasa Melayu mencari bahan rujukan.
Sebelum wujudnya MCP, pencarian manuskrip dibuat secara memohon kepada banyak perpustakaan universiti seluruh dunia. Ada pula manuskrip yang disimpan dalam koleksi peribadi jutawan-jutawan dan tidak dipamerkan secara umum.
Seorang penyelidik di Malaysia atau Indonesia, umpamanya, tiada pilihan melainkan meminta salinan daripada beberapa sumber kerana kebanyakan dokumen penting bahasa Melayu masih disimpan di Eropah. Itu pun kalau dia tahu siapa yang memiliki bahan yang dikehendaki.
Bagi kebanyakkan kes, ramai yang kurang arif mengenai siapa yang perlu dihubungi untuk mendapatkan salinan. Dengan adanya MCP, banyak bahan tulisan lama yang disimpan secara peribadi, boleh dilihat melalui internet.
Dr Gallop ialah Ketua Kurator bahan bacaan bahasa Indonesia dan Melayu di Jabatan Selatan dan Asia Tenggara (SOAS) di Perpustakaan British, London. Beliau juga salah seorang daripada ahli lembaga Editorial jurnal ‘Indonesia dan Dunia Melayu’, yang berpangkalan di SOAS, University of London dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengajian Asia Tenggara di UK (ASEASUK).
Beliau mengutamakan penyelidikan manuskrip Melayu, surat, dokumen dan mohor serta seni buku Islam Asia Tenggara. Beliau juga berminat dalam budaya manuskrip Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Disertasi PhDnya di School of Oriental and African Studies, University of London pada 2002 bertajuk “Inskripsi cop Melayu: satu kajian dalam epigrafi Islam dari Asia Tenggara”. Beliau kini terlibat dalam penerbitan katalog mohor besar atau cop Melayu.
Dr Proudfoot (1946-2011) telah membuat kajian mengenai literasi, percetakan dan pendidikan pada zaman penjajah abad ke-19 di Asia Tenggara. Beliau juga mengupas manuskrip klasik kesusasteraan Melayu dan ilmu bahasa. Beliau turut mendalami manuskrip mengenai ilmu tilikan dan sihir Melayu, serta perhitungan masa, kalendar dan sains Melayu.
Beliau memperolehi Sarjana Muda Sastera Kepujian Kelas Pertama di ANU pada tahun 1967 dan menerima ijazah PhDnya juga dari ANU mengenai agama yang terdapat di Asia Tenggara yang berasal dari India.
Beberapa sahabat dan bekas pelajar beliau di UM dan NUS masih kenangkan mendiang sebagai seorang yang agak mesra, ramah dan lucu, sentiasa bersedia untuk membantu orang lain dan berceloteh kepada rakan-rakan di kampus. Adalah agak ironis, tetapi melucukan yang beliau mengguna nama samaran “Encik Kaki Sombong” (Mr Proud Foot).