Prof Kamaruddin, Ahli Sosiologi Yang Amat Minat Mengambil Gambar
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 7 Sept 2012 – Seorang profesor sosiologi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berminat dalam fotografi dan penerbitan buku berjaya menggunakan kepintarannya itu untuk meningkatkan tugasnya sebagai pakar sosiologi, antropologi dan sejarah.
Profesor Dr Kamaruddin Mohd Said seorang profesor sosiologi, dengan pengkhususan dalam bidang sosiologi perhubungan perindustrian, di FSSK berperanan dalam banyak bidang termasuk sebagai seorang jurugambar disegani.
Beliau juga menjadi orang tengah dalam hal pertikaian industri. Sifat ingin meningkatkan kesefahaman juga terserlah dalam bidang hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia.
Majlis Profesor Negara baru-baru ini melantik beliau menjadi Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosi-budaya menggantikan Prof Zainal Kling dari Universiti Pergurusan Sultan Idris (UPSI). Prof Kamaruddin adalah seorang ahli Senat UKM, dan Ketua Penerbit UKM.
Dalam kapasiti ini, beliau menerima pujian sebagai penerbit biografi Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein baru-baru ini. Penerbit UKM memenangi Anugerah Buku Kebangsaan bagi kategori Biografi Terbaik awal tahun ini untuk biografi ‘Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot’. Ia merupakan satu pengiktirafan kecemerlangan dari Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Pusat Oxford, Britain untuk tahun 2012.
Ditanya mengenai perkembangan semasa dalam kajian sosiologi, beliau berkata masyarakat Malaysia telah banyak berubah sejak kemerdekaan. Dari pandangan sejarah dan sosiologi, masyarakat sekarang tidak seperti dahulu lagi. Anjakan minda telah berlaku terhadap rakyat sepanjang 50 tahun sejak merdeka. Malangnya mereka yang berkuasa tidak mengendahkan perubahan ini.
Jika pada suatu masa dahulu patriotisme diguna oleh ahli-ahli politik, sekarang pula rakyat – terutama generasi muda berfikiran lain.
Prof Kamaruddin berkata kerajaan harus memahami pemikiran rakyat masa kini dan tidak menganggap kehendak dan keperluan hari ini adalah sama seperti ibu bapa mereka 50 tahun lalu.
Nasionalisme telah digantikan dengan sikap mahukan keadilan terutamanya di kalangan muda mudi yang kini berpendidikan lebih tinggi.
Rakyat Malaysia kini mempunyai pemikiran yang menolak perkauman, khasnya di kalangan generasi muda. Prinsip asas mereka ialah kesefahaman dan keadilan, katanya.
Prof Kamaruddin berkata anjakan pemikiran demikian bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara membangun lain. Malahan, Amerika Syarikat sendiri menunjuk tanda-tanda perubahan yang mendadak.
Siapa sangka seorang kulit hitam boleh dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat. Malah sepuluh tahun yang lalu tiada siapa yang dapat membayangkan ia boleh berlaku. Tetapi pada Pemilihan Presiden yang lepas, 43% pengundi Kulit Putih memilih Barak Obama. Kesimpulannya cukup jelas, tambah beliau.
Anjakan minda berlaku hingga pemikiran tidak lagi dipengaruhi oleh budaya atau kumpulan etnik semata-mata. Sebaliknya pengaruh yang paling nyata ialah hati nurani. Kini pendapat seseorang itu mungkin berfikir dari segi sama ada sesuatu tindakan itu sah atau tidak dari segi masyarakat sejagat. Ia tidak terikat kepada pengaruh adat resam sahaja.
Penyelidikan beliau ke atas masyarakat juga dikaitkan dengan minat seriusnya dalam fotografi. Hasil karya seni fotografinya telah dipamerkan di dalam dan luar negara hingga telah berjaya menjual beratus-ratus gambar dengan harga sekitar RM900 satu kepada pelanggan tempatan dan pelawat asing.
Kos menghasilakn semua gambar ditanggung sendiri dan penjualan itu sedikit sebanyak telah menampung perbelanjaan cetakkan, pembesaran dan bingkai gambar. Ruang dan bilik di Penerbit UKM dihiasi dengan fotografinya kebanyakannya landskap alam semula jadi dan seni bina.
Beliau juga menyelidik sejarah moden Semenanjung Malaysia di mana banyak dokumen dari zaman penjajah diteliti, terutama mengenai orang asli.
Usahanya itu membuah hasil apabila terbitan mengenai kaum Semang di Pahang dan Perak dilancarkan. Bertajuk Kembali Semula ke Semang: Koleksi Paul Schebesta, ia berdasarkan kajian yang dibuat oleh penyelidik antropologi berbangsa Czech itu hampir 90 tahun lalu. Beliau menyelia pemulihan digital gambar-gambar yang diambil oleh Schebesta.
Prof Kamaruddin memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang antropologi dari Universiti of California, Berkeley.
Penyelidikan yang diminati meliputi pelbagai topik: konflik, pengadilan dan timbangtara dalam hubungan perindustrian di Malaysia, ekonomi perikanan dari perspektif antropologi, sosiologi sastera Melayu dan budaya masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia.
Prof Kamaruddin telah menghasilkan banyak buku dan artikel jurnal mengenai hubungan perindustrian dan ekonomi nelayan serta transformasi budaya masyarakat orang asli di Malaysia.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat editorial untuk Sosiologi, jurnal yang diterbitkan oleh Persatuan Sosiologi British.
Kerjayanya sebagai pensyarah bermula pada tahun 1980 di UKM. Pada tahun 1990, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jepun di mana beliau telah dilantik sebagai Profesor Asing di Universiti Tsukuba pada 1994-1995. Sekembalinya ke tanah air beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pusat Teknologi Pendidikan, UKM, 1996-1998.
Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai Ketua Program Antropologi dan Sosiologi, dan dilantik sebagai profesor pada tahun 2005.
Kefahamannya yang baik mengenai masyarakat juga disedari di kalangan negara jiran, terutamanya Indonesia. Kini beliau adalah pengerusi Pemikiran Nusantara, yang terdiri daripada ahli akademik kedua-dua negara.
Beliau berkata mereka berusaha untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan membincangkan warisan Melayu di kedua negara.
Prof Kamaruddin menyifatkan kerjanya itu sebagai satu cabaran besar memandangkan seringnya berlaku perbalahan di antara kedua negara misalnya baru-baru ini terhadap identiti beberapa elemen budaya yang wujud dalam masyarakat Melayu di Malaysia dan di Indonesia.
Beliau berpendapat bahawa adalah lebih baik bagi ahli akademik berhujah mengenai pelbagai isu warisan budaya antara kedua negara dan tidak menjadi perbalahan yang dimainkan oleh ahli politik mereka. Ahli akademik dan penyelidik, katanya, akan dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.