Saluran Bekalan Beras Yang Lemah Perlu Ditangani

RABU, 19 SEPTEMBER 2012 16:06 ADMINISTRATOR

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Sep 2012 – Masalah pengeluaran beras dan harganya yang tidak menentu kerana kadar pengeluarannya tidak dapat menyamai peningkatan jumlah penduduk dunia telah dibincangkan dalam satu bengkel di sini, minggu lalu.

Bengkel ‘Pengeluaran Beras Lestari’ anjuran Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berusaha mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah itu.

Antaranya adalah melalui peningkatan pengeluaran beras dengan menanam benih berkualiti yang bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi pada masa yang sama memberi perhatian kepada keselamatan petani.

Penasihat Korporat Tradewinds Malaysia Berhad, Tan Sri Dr Mohd Noor Ismail, ketika menyampaikan ucaptamanya berkata beras perlu dilihat secara menyeluruh dari penanamannya hingga penjualannya di kedai.

Beliau berkata usaha mencari cara yang lebih baik dan cepat untuk menanam beras perlu tetapi persoalan yang melangkaui penyelidikan juga harus diberi perhatian. Masalah itu perlu ditangani kerana kalau tidak ia akan mengurangkan impak hasil penyelidikan dan inovasi dalam pengeluaran beras.

Beliau telah menemui pesawah di kawasan penanaman padi dan mendapati masalah yang dihadapi mereka bukannya mengerjakan sawah mereka dalam keadaan panas terik tetapi soal penyaluran padi dan beras kepada pengguna.

Ia meliputi isu lambat menerima benih yang disahkan oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani yang mempunyai daya ketahanan terhadap serangan serangga dan makhluk perosak, kekurangan bekalan air ketika ia diperlukan serta kekurangan peralatan untuk menuai.

Semua masalah ini memberi kesan ketara kepada petani kerana mereka hanya mempunyai 105 hingga 110 hari sahaja daripada penanaman hingga ke penuaian.

Kekurangan dan ketiadaan benih yang disahkan memaksa petani menggunakan benih yang disimpan yang memberikan hasil berkurangan.

Peredaran beras dari sawah ke kilang juga menghadapi masalah kerana tidak wujudnya kawalan kualiti hingga peraih boleh pula menghantar beras yang berkualiti ke kilang pesaing.

Pembaziran juga berlaku apabila beras berada di kilang selain pengelasannya boleh terjejas apabila beras berlainan kualiti dicampurkan dan dipakej sebagai beras berkualiti tinggi.

Tan Sri Mohd Noor berkata semua masalah itu memberi kesan buruk kepada pengeluaran beras yang mengakibatkan kerugian kepada petani dan pengguna.

Punca masalah bersangkutan beras itu adalah kerana beras sudah menjadi suatu komoditi di mana ia dijual beli untuk mendapat keuntungan dan tidak lagi sekadar usaha pertanian sahaja, tambah beliau.

Tan Sri Mohd Noor mengimbas kembali peristiwa pada tahun 2008 di mana harga beras telah melonjak naik sehingga memberi kesan negatif kepada lebih 100 juta penduduk dunia terutamanya mereka yang hidup di bawah paras kemiskinan.

Situasi bertambah buruk ketika itu kerana perasaan takut dan panik oleh pengguna terhadap bekalan beras. Kenaikan harga waktu itu sebenarnya disebabkan inflasi yang melanda harga makanan dan bukannya kerana kekurangan bekalan, tambah beliau.

Suasana itu diburukkan lagi apabila negara pengeksport beras menyekat eksportnya manakala negara pengimport beras pula mahu meningkatkan import beras untuk menstabilkan harga.

Kerajaan negara pengeksport beras pula musykil mereka mungkin menghadapi kekurangan beras untuk keperluan sendiri jika eksport diteruskan.

Cina waktu itu telah mengenakan cukai 5 peratus ke atas beras yang dieksport manakala Vietnam pula melarang perjanjian eksport beras baru dan Mesir juga melarang terus penghantaran beras. Keadaan ini hanya menguntungkan pembekal dan merugikan pembeli, tambah Tan Sri Mohd Noor.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof Madya Dr Norela Sulaiman, wakil dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), pertubuhan-pertubuhan pertanian, Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan peserta dari seluruh negara telah hadir.