Siswa Baru Gembira Dapat Melanjutkan Pelajaran
By Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Shahiddan Saidi
BANGI, 7 Sep 2012 – Beberapa pelajar baru yang memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia pada semester pertama sesi 2012-2013 melahirkan rasa gembira kerana dapat mengalami alam kampus.
Bagaimanapun mereka juga merasa bimbang kerana terpaksa berpisah dengan keluarga buat seketika. Siswa-siswa baru itu adalah sebahagian daripada lebih 2600 pelajar yang berdaftar awal minggu ini.
Bagi gadis kembar seiras Kerk Yih Jen dan Kerk Yih Chyi, 19 tahun, dari Batu Pahat, Johor, kemasukan ke universiti bukan sahaja bermakna berpisah daripada ibu bapa, tetapi terpaksa berpisah antara mereka buat pertama kalinya.
Yih Jen yang mendaftar di Kolej Ibrahim Yaakub, memasuki UKM untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan. Bagaimanapun kakak kembar seirasnya Yih Chyi diterima untuk kursus Ekonomi di Universiti Putera Malaysia (UPM) di Serdang.
Seluruh ahli keluarga menaiki kereta dari Batu Pahat yang dipandukan bapa mereka, seorang mekanik.
Adik-beradik kembar ini berkata sejak lahir mereka jarang berpisah buat tempoh yang panjang. Malah di sekolah, mereka biasanya berada dalam kelas yang sama dan melakukan kebanyakan aktiviti ko-kurikulum bersama.
Yih Jen berkata ibu bapa mereka pada mulanya bimbang dengan keadaan demikian tetapi menerima hakikat bahawa mereka akan menjalani kehidupan yang berasingan apabila dewasa.
Yih Jen berkata dia dan kakak kembarnya telah memohon untuk kursus Perakaunan di Universiti Malaya (UM) sebagai pilihan pertama, kerana kedua-dua mereka mahu menjadi Akauntan Bertauliah. Tawaran ke UKM dan UPM adalah pilihan ketiga mereka, tetapi mereka rela menerima keputusan itu.
Ditanya jika mereka rindukan kampung halaman, mereka berkata ini adalah fasa baru hidup yang perlu mereka hadapi dengan tenang.
Bagi Normaliza Mat Isa, 19 , dari Kulim, Kedah, impian untuk menyambung pendidikan di UKM sudah menjadi nyata. Normaliza berjaya mendapat tempat untuk menuntut Undang-Undang. Beliau yang menginap di Kolej Aminuddin Baki telah bercita-cita menjadi seorang peguam sejak kecil lagi.
Beliau dihantar oleh abangnya dan ibunya Normah Yahaya seorang ibu tunggal yang terpaksa berniaga secara kecil-kecilan untuk menyara hidup. Mereka gembira apabila Nomaliza diterima untuk belajar di UKM dan semua ahli keluarga memberikan apa jua sokongan yang mereka mampu.
Normaliza mengakui rindukan kampung halaman dan sahabat handai.