Media Cetak Perlu Berubah Untuk Menarik Pembaca Remaja
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 2 Dis 2013 – Isi kandungan dan cara penulisan di media cetak perlu diperbaharui kiranya mahu terus menarik minat pembaca remaja yang kini semakin menurun.
Dua orang pakar komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Akmar Hayati Ahmad Ghazali dan Prof Madya Dr Siti Zubaidah berkata pada 2008, 54% remaja membaca media cetak tetapi jumlah mereka menurun mendadak kepada hanya 34% pada 2011.
Tren ini akan berterusan sekiranya kandungan akhbar tidak berubah menepati kehendak remaja, kata Dr Akmar dan Dr Siti Zubaidah.
Hasil penyelidikan mereka itu telah dibentangkan di Persidangan Antarabangsa Media dan Transformasi Komunikasi (MENTION) di sini hari ini. Ia dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Mereka berkata alasan yang sering diberikan terhadap tren itu adalah kerana generasi T (teknologi dan gadget) lebih gemar kepada teknologi dan pelbagai peralatan canggih hingga mereka kurang minat terhadap isu semasa.
Golongan remaja didapati lebih gemar membaca blog serta Facebook dan Twitter daripada membaca akhbar. Dr Akmar dan Dr Siti Zubaidah berkata cara penulisan dan kandungan juga menjadi faktor kenapa remaja meninggalkan media cetak.
Remaja tidak tertarik dengan berita yang dipaparkan kerana mereka merasakan ia tidak senada dengan keperluan mereka.
Kebanyakan berita yang mendominasi akhbar adalah berita berat mengenai politik dan ekonomi yang tidak menepati cita rasa remaja. Mereka tidak mahukan fakta semata-mata dan lebih menggemari berita yang ringan dan santai seperti rencana pendek yang tidak memerlukan banyak berfikir.
Dr Akmar dan Dr Siti Zubaidah mencadangkan akhbar mengambil kira keperluan dan penerimaan remaja terhadap isi kandungan yang dipersembahkan kiranya mahu terus mendapat sokongan remaja.
Bagaimana pun mereka juga menerangkan bahawa remaja bukan hanya tertarik kepada hiburan semata-mata tetapi juga dahagakan pengetahuan asalkan ia dipersembahkan dengan cara mengikut kehendak naluri remaja.
Kajian mereka mendapati remaja membaca akhbar untuk lari dari masalah yang dihadapi dan dengan itu lebih tertarik dengan rencana yang boleh meringankan tekanan dan menghilangkan rasa sunyi.
Remaja juga didapati menggemari bahan yang dapat merangsangkan perkembangan kognitif mereka tanpa memberatkan fikiran. Jadi rencana yang informatif dan turut menghiburkan menjadi pilihan.
Kajian kedua pengamal komunikasi itu mendapati berita hiburan paling kerap dibaca diikuti dengan berita jenayah dan sukan. Remaja juga didapati gemar membaca berita bidang kesihatan dan tersenarai sebagai bahan keempat paling kerap di baca oleh 66.6% peratus daripada mereka kerana senang dibaca dan mudah difahami.
Dr Akmar dan Dr Siti Zubaidah mengenal pasti lima keperluan yang harus dipenuhi media cetak untuk terus relevan kepada remaja.
Remaja inginkan bahan bacaan yang mempunyai unsur eskapisme, memberi maklumat yang dapat mereka praktikkan, menyentuh perasaan, pembangunan diri dan isu sosial.
Adalah sukar untuk membayangkan media cetak akan pupus kerana ia akan tetap wujud tetapi jika ia gagal berubah bagi menepati cita rasa semua, akhbar mungkin ia akan menjadi seperti sebuah pelita yang pada satu masa dahulu digunakan untuk menerangi setiap rumah tetapi kini hanya digunakan mereka yang berkhemah ataupun sekadar menjadi suatu bahan antik, kata Dr Akmar dan Dr Siti Zubaidah.