Pelajar Dari 15 Buah Negara Di UKM Menunjukkan Kemahiran Memasak Makanan Tradisi Mereka
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 5 Dis 2013 – Pelajar-pelajar dari 15 buah negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperlihatkan kemahiran mereka memasak apabila mengambil bahagian dalam Pesta Juadah Makanan Antarabangsa ke-5 di sini hari ini.
Pelajar-pelajar itu dari Afghanistan, China, Indonesia, India, Iran, Iraq, Malaysia, Palestin, Thailand, Jordan, Syria, Sri Lanka, Turki dan Yaman adalah antara mereka yang menyediakan sajian tradisi mereka sambil menjelaskan asal-usul makanan mereka kepada pelawat .
Pesta ini bertujuan untuk menjalin hubungan lebih rapat antara pelajar tempatan dan antarabangsa universiti. Ia dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Umum (PPU) Prof Dr Khairul Anwar Mastor .
Ia dianjurkan oleh jawatankuasa kursus Bahasa Melayu pusat itu dan pengarah pesta itu sejak tahun 2009 adalah Prof Madya Dr Fazilah Idris. Tahun ini merupakan yang terakhir baginya kerana akan bercuti sabatikal.
Para pelawat mendapati adanya persamaan antara sajian negara-negara Arab, Turki dan Uzbekistan, manakala pelajar Indonesia banyak berusaha supaya membahagikan kaunter mereka antara masakan Aceh, Jawa Barat, Sunda dan Kalimantan.
Di antara gerai yang paling ramai pengunjung adalah Jordan di mana peserta menyediakan kuih-muih tradisional dan masakan nasi kambing Pulo.
Antara hidangan lain dari Jordan yang disajikan ialah Kapsa atau Nasi Ayam, Tabilla atau sayur campur cincang dan Magrubah, kek keju.
Pesta Makanan itu telah menjadi tarikan untuk pelajar antarabangsa memperkenalkan makanan tradisional mereka dan pada masa sama menunjukkan cara menyediakan masakan mereka itu.
Mereka juga diberi peluang untuk mempromosikan tempat-tempat menarik dalam negara masing-masing untuk menarik pelancong.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang pameran termasuk taklimat mengenai negara, tarian tradisional, nyanyian dan bacaan puisi.
Demonstrasi masakan juga diberikan oleh beberapa peserta manakala pertandingan gerai terbaik, pameran terbaik dan pakaian terbaik telah dilangsungkan.
Hadiah pertama bagi gerai terbaik dimenangi oleh Indonesia, dengan Jordan mendapat tempat kedua dan Iran ketiga.
Jordan menjuarai bahagian pameran terbaik dengan beberapa pesertanya berpakaian Badawi. Afghanistan yang juga mempunyai beberapa pelajarnya berpakaian kebangsaan telah memenangi tempat kedua. Iraq, dengan pelajarnya berpakaian jelabiyya dan topf Arab mendapat tempat ketiga.
Terdapat juga kategori untuk gerai “paling aktif”, dengan pesertanya giat melayan tetamu. Iraq muncul juara, manakala Bangladesh naib juara dan Sri Lanka mendapat tempat ketiga.