Pembinaan Kompleks Alumni Jadi Lambang Penyatuan Alumni UKM
Oleh Abd Razak Hussin
Foto oleh Pejabat Perhubungan Alumni
KOTA BHARU, 6 Dis 2013 – Sebuah Kompleks Alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharga RM30 juta diharap dapat dilaksanakan dengan bantuan para alumninya sebagai lambang penyatuan alumni dan suatu mercu tanda yang membanggakan mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A Karim berharap ianya dapat dilaksanakan tanpa mengambil masa terlalu lama sebagai suatu usaha mewujudkan kerjasama lebih erat para alumni dalam merealisasikannya.
Beliau telah merasmikan Bengkel Laporan dan Perancangan Hala Tuju Alumni yang disertai anggota Jawatankuasa Kerja Alumni UKM di sini hari ini.
Prof Othman berkata ahli jawatankuasa itu perlu memahami Pelan Transformasi UKM dalam usaha menentukan hala tuju alumni serta membantu gerak kerja Pejabat Perhubungan Alumni (PP Alumni).
Aktiviti yang dilaksanakan harus mendukung usaha mentransformasi UKM untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi yang dihormati termasuk di arena global, memastikan sistem penyampaian perkhidmatan berkesan, membentuk kepimpinan dan pembudayaan kreativiti dan inovasi yang berdampak kepada masyarakat serta melahirkan siswazah kompeten dan berdaya saing.
Beliau berkata PP Alumni diwujudkan bukan untuk mengadakan aktiviti bagi alumni tetapi menjadi penghubung dan fasilitator antara UKM dengan alumni.
Dengan penubuhan chapter alumni di dalam kampus dan di semua negeri serta di peringkat antarabangsa akan melancarkan hubungan antara UKM dengan alumni serta menentukan ianya tidak terputus.
Oleh itu PP Alumni perlu mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Kerja itu untuk menyebarkan perkembangan terkini UKM khususnya perancangan dan pelan transformasinya kepada alumni supaya mereka dapat mendukungnya bersama.
Alumni juga diharap dapat menjadi ‘duta’ kepada UKM dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap kemampuan dan keupayaan UKM dalam pelbagai bidang ilmu.
Prof Othman berharap Sistem Maklumat Alumni dapat diperkemas dan dihebahkan secara meluas bagi membolehkan para alumni mencapainya serta mendaftar dalam sistem itu.
Bengkel itu turut dihadiri Pengarah PP Alumni, Prof Madya Dr Marlyna Maros dan Timbalan-timbalan Dekan Fakulti.