Specie Terbaru Rafflesia Diberi Nama Naib Canselor
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 1 Dis 2013 – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menemui spesies baru bunga Pakma atau Rafflesia di Hutan Simpan Gunung Benom di Raub, Pahang, yang dinamakan sempena Naib Canselor universiti itu.
Kumpulan penyelidikan Rafflesia yang diketuai oleh Prof. Dr. Jumaat Adam, telah melakukan kajian ke atas bunga parasit itu sejak dua tahun yang lalu.
Setakat ini ia hanya didapati dalam hutan hujan tropika di Semenanjung Malaysia sahaja.
“Bunga Rafflesia dinamakan Rafflesia sharifah-hapsahiae sempena Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang sering memberi sokongan dan galakan dalam menjalankan kajian yang melibatkan pemuliharaan alam sekitar khususnya Rafflesia,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Kongres Penyelidikan dan Inovasi UKM di sini, hari ini .
Walau bagaimanapun, ia hanya diiktiraf sebagai penemuan yang sah pada September 2013 yang telah diterbitkan di Turkish Journal of Botany.
Prof. Dr. Jumaat dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, berkata perbezaan antara bunga spesies baru ini dan Rafflesia lain ialah corak pada kelopak dan tetingkap bunga adalah lebih rapat dan bintil pada diafragma adalah lebih jelas kelihatan berbanding bunga yang mirip dengannya iaitu Rafflesia azlanii.
Bunga ini mempunyai warna yang terang iaitu daripada berwarna oren, coklat kemerahan atau berwarna merah yang seakan-akan daging yang berbau busuk bergantung kepada spesies akan menarik agen pendebungaan seperti lalat.
Prof. Dr. Jumaat, Ketua Pusat Penyelidikan UKM Bukit Fraser telah melakukan kajian bunga Rafflesia sejak tahun 1982 di Tambunan. Setelah itu, beliau telah menumpukan kepada penyelidikan periuk kera (Nepenthes) dan menyambung semula penyelidikan Rafflesia pada tahun 2008 sehingga kini. Beliau juga pernah menganggotai sekretariat penubuhan Pusat Informasi Rafflesia, Sabah. Beliau berkata spesies ini adalah bunga Rafflesia yang kelima direkodkan di Semenanjung Malaysia, yang ke sembilan di Malaysia dan ke-32 di dunia.
Genus Rafflesia ialah tumbuhan berbunga parasit hutan hujan tropika di Asia Tenggara. Bunga ini sangat bergantung kepada sejenis tumbuhan perumah iaitu anggur liar bagi perlindungan, pemakanan, dan kemandirian. Perumah adalah spesifik iaitu Tetrastigma rafflesiae.
Bahagian-bahagian vegetatif Rafflesia merupakan struktur bebenang hifa yang tumbuh pada bahagian perumah dan bunga yang besar akan muncul pada akar dan permukaan batang perumah dengan lebar sehingga 150 cm iaitu Rafflesia arnoldii.
Bunga terbesar pernah dicatatkan di Semenanjung Malaysia adalah 105 cm bagi Rafflesia kerrii.
Tidak semua bunga Rafflesia adalah bersaiz besar, terdapat 5 spesies Rafflesia berukuran garis pusat antara 15 dan 20 cm.
Rafflesia mempunyai banyak nama julukan; termasuk bunga Pakma, bunga Pecah belah, bunga kobis, bunga Akar, kerubut, kekuanga, yak-yak, wusak, tumbuakar, bunga Matahari, cendawan matahari , dai huang hua, monarch flower dan bangkai busuk.