UKM dan YPC Akan Laksanakan Skim Untuk Siswazah
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 19 Dis 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama pelbagai bidang.
MoU itu ditandatangani Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengerusi YPC Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Menteri Kewangan II dan Menteri Mentor UKM Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah menyaksikan upacara ringkas itu bersama Timbalan Naib Canselor Prof Ir Dato’ Othman A. Karim dan ahli lembaga pengarah YPC Datuk Syed Abdullah Alhabshee.
Ia dijangka mewujudkan perkongsian pintar yang kemas, tersusun dan strategik antara YPC dan UKM dalam menjayakan agenda transformasi negara khususnya meningkatkan modal insan.
Dalam ucapan aluan beliau, Prof Sharifah hapsah melahirkan harapan bahawa melalui MoU itu , UKM dan YPC bakal mengadakan program seperti konvensyen kepimpinan mahasiswa dan kebolehpasaran graduan.
Kata beliau kedua-dua pihak berhasrat melaksanakan khidmat komuniti di luar kampus, khasnya di kalangan golongan yang berpendapatan rendah.
UKM dan YPC juga menjalankan rancangan kerjaya dan keusahawanan, manakala agama dan kebajikan juga diberi perhatian yang sewajarnya.
Mereka juga dijangka mewujudkan rancangan menggalakkan sukan dan rekreasi; kesenian dan kebudayaan serta penyelidikan dan inovasi.
Dalam ucapan beliau, Datuk Seri Syed Ali berkata ini adalah kali pertama YPC melaksanakan program untuk siswazah universiti.
Menurut beliau UKM dipilih untuk hubungan rasmi ini kerana ia universiti terunggul di negara.
Sebelum ini, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan UKM selama beberapa tahun dalam pelbagai bidang seperti kebajikan dan skim anak angkat pelajar sekolah.
Kali ini, tambah beliau, YPC akan merangkakan rancangan anak akan untuk para siswazah dari keluarga berpendapatan rendah.
Maka, kata beliau, adalah wajar bagi YPC dan UKM menjalin hubungan yang erat tersebut secara rasmi.
Datuk Seri Syed Ali berjanji menggunakan sumbangan kerajaan sebanyak RM 500,000 untuk tujuan itu, disamping derma RM 500,000 dari Kementerian Kewangan yang diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Husni.