Universiti Perlu Menyemai Sifat Kerohanian Dikalangan Graduan
Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 12 Dis 2013 – Matlamat pendidikan harus dikaji semula sekiranya universiti ingin melahirkan graduan yang berintegriti dan bijaksana, kata seorang pakar fizik dari Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) di sini hari ini.
Prof Mohd Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari (HADHARI) berkata universiti perlu mengambil kira aspek kerohanian untuk mendidik graduan sebagai modal insan yang jujur dan berintegriti.
Pendidik kini, katanya, sudah tersasar dalam mendidik generasi muda kerana pendidikan bukanlah hanya melengkapkan mereka dengan kemahiran sahaja tetapi mengabaikan soal pembangunan kerohanian. Ini perlu diambil kira supaya graduan yang dikeluarkan boleh mencapai kecemerlangan.
Beliau memberi satu contoh kesan akibat pembangunan kerohanian diabaikan.
“Ramai graduan dianggap berjaya apabila mereka dapat bekerja di bidang perbankan, tetapi terdapat di antara mereka yang telah melingkupkan banyak bank kerana ketamakkan. Beliau memberi contoh bank pelaburan Lehman Brothers di Amerika Syarikat yang terpaksa menggulung tikar walaupun telah wujud lebih seratus tahun.
“Sebaliknya mereka yang cemerlang seperti, Einstein, Bill Gates, Steve Jobs dan David Beckham semuanya tercicir dari universiti,” kata beliau.
Malah mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu mengajikan graduan sebagai tenaga pekerja.
Beliau berkata perlakuan jelek demikian terjadi kerana objektif pendidikan yang sepatutnya untuk membentuk insan yang patut dicontohi telah dilupakan.
Tanpa nilai seperti kejujuran, integriti dan rasa akan diadili, universiti hanya mampu mengeluarkan graduan yang berkemahiran tinggi tetapi gasar.
Ini adalah kerana pendidik diukur bukan mengikut kemampuan mereka menghasilkan graduan yang jujur, bertakwa dan dipandu oleh integriti tetapi terlalu taksub dengan pedagogi dan prosedur kerana mereka diukur berdasarkan faktor tersebut.
Perkara seperti ISO dan indeks prestasi menjadi matlamat pendidik. Yang menyedihkan ia tidak mengambil kira pembangunan kerohanian, kata Prof Yusof.
Pembangunan teknologi maklumat juga turut menyumbang kerana kita sekarang terlalu tertumpu kepada keadah mengajar yang menggunakan teknologi maklumat.
Kaedah yang baru tidak seharusnya dijadikan objektif pengajaran, ia sepatutnya adalah cara untuk mencapai matlamat.
Hasilnya kita kini sudah boleh mengira masa sebuah kapal angkasa akan mendarat hingga ke detik yang tepat tetapi gagal mengawal asap yang dikeluarkan oleh kereta dan kilang.
Prof Yusof berkata ini adalah kerana fitrah manusia iaitu nilai murni tidak terdapat dalam pendidikan. Agama juga tidak mempunyai tempat dalam sains.
Sains sepatutnya diajar dengan mengambil kira aspek ketuhanan dan kita sepatutnya menjadikan Quran sebagai panduan, katanya.
Sekarang kita hanya mampu berkata “ini atau itu (penemuan) telah pun tertulis dalam Quran lebih seribu tahun yang lalu.”
Quran bukanlah suatu kebetulan bagi penemuan saintifik, sebaliknya ia harus menjadi kompas kepada penyelidikan saintifik, kata Prof Yusof.
Symposium sehari itu dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) untuk menilai pengajaran dan pembelajaran di fakulti itu.
Dekan FST Prof Dr Sharim Hj Ahmad telah menghadiri simposium itu.