Malaysia Sesuai Berperanan Mengadakan Dialog Antara Tamadun

JUMAAT, 29 MAC 2013 08:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 27 Mac 2013 – Malaysia amat sesuai mengambil peranan utama dalam usaha mengadakan dialog antara tamadun walaupun pernah mengalami masalah perkauman dan agama.

Felo Utama Institut Kajian Oksidental (IKON) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr Shanta Nair-Venugopal berpendapat negara berkemampuan mengambil peranan dalam dialog budaya demikian kerana Semenanjung Tanah Melayu adalah wilayah penting penemuan pengaruh Islam, Hindu, Buddha and Kristian.

Berucap pada syarahan umum perdananya di sini hari ini atas tajuk Wacana Kajian Oksidental: Satu Perspektif dari Malaysia, beliau berkata para akademik dan sarjanawan Malaysia mahir mengenai hubungan Timur dan Barat.

Beliau berkata peranan Malaysia dan Asia sebagai jambatan antara budaya adalah kerana pengkaji Barat (Oksidentalis) meramalkan Timur akan menunjuk prestasi yang lebih baik berbanding Barat pada masa depan.

Semenanjung Tanah Melayu, seperti wilayah lain di Asia tenggara pernah dijajah dan mencapai kemerdekaan. Ini menghasilkan pandangan dan pengalaman sebagai warga dunia yang mahir mengenai hal-ehwal Barat.

Beliau berkata Malaysia mampu mempelajari lebih mengenai Barat dalam politik, perdagangan dan interaksi budaya kerana pengalaman beratus tahun walaupun barat juga berminat mengkaji negara-negara Timur. Adalah lebih mudah mengkaji budaya dan norma Barat kerana globalisasi.

Penyelidikan mendalam mengenai cara-cara Barat akan memberi Malaysia satu kelebihan berbanding negara-negara jiran lain yang mungkin mempunyai pandangan yang sempit mengenai ehwal Barat.

Namun demikian, pemerhatian orang Melayu terhadap Barat dan percubaan untuk menjangka reaksi orang putih kepada budaya tempatan memang sudah lama wujud.

Pada masa lampau ada orang Melayu yang berpandangan serong mengenai Barat, manakala yang lain berpendapat bahawa Barat juga boleh memberi faedah.

Antara Melayu zaman moden awal, ada pihak mencadangkan bahawa Abdullah Munshi, penulis dan pengarang yang bekerja untuk Sir Stamford Raffles, adalah seorang Oksidentalist. Mereka yang biasa dengan karyanya Hikayat Abdullahmemerhatikan bahawa beliau asyik mengampu orang Eropah hingga ada yang membidasnya sebagai pembela Barat.


Pada zaman 1970an, Prof Syed Hussein Alatas membidas sikap British memburukkan orang Melayu yang mereka tuduh mundur. Beliau menolak sikap itu dalam bukunya The Myth of the Lazy Native dengan menyatakan bahawa orang Melayu tidak minat bekerja di bawah British kerana membantah dan menentang pemerintahan asing.

Pada tahun 1980an ada juga yang menyifatkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Oksidentalis apabila menggesa supaya tindak-tanduk Barat perlu disiasat dan bukan sebaliknya sahaja di mana Barat mengkaji orang Timur.

Prof Shanta berkata dasar “Pandang ke Timur” Tun Dr Mahathir adalah satu bentuk Oksidentalisme dengan menolak contoh Barat untuk digantikan dengan model Jepun. Dasar pandang ke timur itu juga berkait rapat dengan lagi satu dasarnya “Buy British Last” atau “Asalkan Bukan British”, yang dicetuskannya berikutan reaksi media British terhadap kejayaan kerajaan Malaysia mengambil aleh syarikat minyak kelapa sawit negara, Guthrie group secara senyap di Bursa Saham London pada awal tahun 1980an.

Dasar itu juga muncul semula pada awal tahun 1990an apabila media British menggesa supaya siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada rasuah berlaku dalam penjualan senjata British ke Malaysia.

Prof Shanta pernah memegang jawatan profesor kajian bahasa (sosiolinguistik dan komunikasi antara budaya) di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik (SoLLs), UKM. Beliau selama lebih tiga puluh tahun terlibat dalam kerja-kerja antara disiplin, serta mengajar, menyelia dan memeriksa pelajar siswazah dan pascasiswazah dalam kajian bahasa Inggeris.

Beliau berkelulusan sarjana muda kepujian dalam Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya pada tahun 1972 dan menerima ijazah sarjana pada tahun 1984. Beliau memperoleh ijazah PhDnya dalam sosiolinguistik dari University of Wales, Cardiff pada 1997.