Majlis Penghargaan Untuk Naib Canselor Oleh Pusat Permata
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman
BANGI, 22 Nov 2013 – Naib Canselor UKM yang akan tamat perkhidmatannya akhir tahun ini disifatkan sebagai seorang yang hebat, berwawasan besar dan amat berdedikasi kepada kerjayanya.
Isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin adalah seorang yang “istimewa dan secara peribadi, adalah seorang kawan yang baik”.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan untuk Prof Sharifah Hapsah di Kompleks Pusat PERMATAPintar Negara di sini hari ini untuk meraikan sumbangan beliau kepada UKM sebagai Naib Canselor.
Ia adalah juga majlis perpisahan kepada Prof Sharifah Hapsah yang akan berakhir khidmatnya dengan UKM akhir tahun ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa; Prof Dato’ Ir Dr Othman A. Karim (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Prof Dato Dr Saran Kaur Gill (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat).
Datin Paduka Seri Rosmah menyebut bagaimana Prof Sharifah berjaya menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalam menguruskan universiti khususnya usaha dan masa yang beliau habiskan untuk membina dan mempromosi program PERMATAPintar.
Kerja keras dan dedikasinya itu telah menentukan program-program PERMATA telah berjalan dengan lancar hinggakan program PERMATA yang baru dapat diperkenal dan dilaksanakan.
Datin Paduka Seri Rosmah berkata beliau telah mendapati terlalu banyak masalah sosial di kalangan belia dan anak-anak. “Saya memilih untuk menangani masalah itu, tetapi saya tahu saya tidak akan dapat melakukannya sendiri dan berhubung dengan golongan profesional dan ahli akademik untuk bantuan,” tambah beliau.
Beliau menghuraikan perbincangannya dengan pelbagai golongan wanita profesional, termasuk Prof Sharifah Hapsah untuk memikirkan cara membantu belia Malaysia. Penyelesaian jangka panjang akhirnya dipersetujui dan ia telah digubal dan akhirnya menjadi program PERMATA pertama, iaitu program PERMATA Negara.
Program-program PERMATA telah berkembang hingga kini terdapat lima Program PERMATA di UKM, dengan dua lagi dalam proses perlancaran. “Ia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan, pengorbanan dan dedikasi ramai orang, tetapi yang paling penting, adalah Prof Sharifah,” kata Datin Paduka Seri Rosmah.
Majlis Penghargaan itu diakhiri dengan persembahan hiburan oleh anak-anak PERMATA Seni.