Penduduk Bandar Mula Kembali Hidup Di Kampung
Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 21 Nov 2013 – Suatu kajian di sini mendapati bahawa penduduk di bandar-bandar besar kini sudah mula berhijrah kembali ke kampung kerana kebanyakan bandaraya gagal memberikan pertumbuhan lestari.
Ini telah juga membuatkan ramai penghuninya berasa terhimpit dari segi ekonomi hingga mengakibatkan kemiskinan tertumpu di bandar.
Kajian itu dilakukan Dr Nur Huzeima Mohd Hussain dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) and Dr Hugh Byrd dari University of Lincoln United Kingdom. Mereka telah menghuraikannya dalam sebuah kertas kerja bertajuk “Balik Kampung is Malaysia Facing the Trends of De-Urbanization?”
Kertas itu adalah antara lebih 100 buah kertas yang dibentangkan dalam suatu Persidangan Antarabangsa di sini hari ini. Persidangan itu yang dianjurkan Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelbagai institusi luar dan dalam negara telah berlangsung selama tiga hari hingga hari ini.
Penemuan Dr Nur Huzeima dan Dr Byrd adalah sesuatu yang tidak dijangka walau pun statistik dunia menunjukkan bilangan penduduk yang berhijrah ke bandar semakin menurun di seluruh dunia.
Pada tahun 1995 kadar penghijrahan adalah sebanyak 35% dan sejak itu telah menurun ke 26% pada tahun 2005 dan dijangka akan menurun sehingga 14% pada 2015.
Sebab yang diberikan adalah apabila bandar gagal memberikan pertumbuhan yang lestari, masyarakat akan berasa terhimpit dari segi ekonomi hingga mengakibatkan kemiskinan tertumpu di bandar.
Penduduk di bandar tidak seperti penduduk luar bandar yang mampu berdikari walau pun tanpa pekerjaan kerana mereka boleh bercucuk tanam.
Kajian itu juga mendapati pendatang yang baru ke kampung-kampung itu mampu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang melibatkan pertanian.
Mereka turut mampu berada di atas paras kemiskinan dan dengan itu mampu membina kehidupan yang lebih baik di luar bandar tidak seperti kesusahan yang mereka hadapi di bandar.
Selain itu dengan adanya teknologi baru penghijrahan kembali ke kampung juga memberi ruang kepada gaya hidup baru dengan kualiti hidup yang lebih baik.
Penduduk di bandar pula tidak mampu mengambil manfaat dari hasil bumi kerana kebanyakan mereka tinggal dalam bangunan tinggi seperti pangsapuri dan flat, kata mereka.
Apabila penduduk berhijrah ke bandar, banyak tanah di kampung ditinggalkan terbiar. Generasi muda tidak berminat untuk mengambil alih dan mengusahakan tanah yang di tinggalkan kerana mahu mencuba nasib di bandar.