UKM Anjur Pameran Penulis Franz Kafka

KHAMIS, 07 NOVEMBER 2013 07:56

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 4 Nov 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat kali keduanya telah bekerjasama dengan kerajaan Republik Czech untuk mengadakan suatu pameran tokoh ternama negara itu kali ini mengenai pengarang terkenalnya Franz Kafka.

Pameran itu yang berlangsung di UKM selama seminggu berakhir pada Jumaat 1 Nov lalu.

Franz Kafka (1883 – 1924) adalah seorang penulis novel dan cerpen bahasa Jerman, yang dianggap oleh pengkritik sebagai salah satu daripada penulis yang paling berpengaruh di abad ke-20 ini.

Antara hasil karyanya yang paling terkenal seperti “Die Verwandlung” (Metamorphosis), “Der Proses” (Perbicaraan), dan “Das Schloss” (Istana),  dipenuhi dengan tema dan watak-watak yang menunjukkan  perubahan yang mistik, konflik ibu bapa kanak-kanak,  keganasan fizikal dan psikologi serta pengalaman seram dalam birokrasi.

Beliau dilahirkan di Prague, yang ketika itu sebahagian daripada empayar Austro-Hungari, tetapi telah menjadi ibu negara Czechoslovakia selepas 1918.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Dr Rashila Ramli melancarkan pameran bagi pihak Naib Canselor Tan Sri Datuk Seri Prof Dr Sharifah Hapsah Syed  Hasan Shahabudin.

Prof Rashila berkata pameran itu memberikan gambaran kehidupan Kafka, walaupun karya-karyanya masih  menimbulkan banyak persoalan.

Pameran itu ditaja oleh Kedutaan Czech di Kuala Lumpur dan pelancarannya turut dihadiri dutanya Jan Fury. Turut bersama ialah Martin Hubinger, Timbalan Ketua Misi kedutaan, yang  banyak berusaha untuk menjayakan pameran itu.

Fury menyifatkan Kafka sebagai penulis yang enggan menerbitkan tulisannya hingga hasil karyanya nyaris termusnah, tanpa daya usaha seorang rakannya Max Brod, seorang peguam.


Kafka telah mewasiatkan manuskripnya kepada Brod, yang sedari nilai kesusasteraan manuskrip itu. Beliau kemudiannya menerbitkan karya-karya itu selepas Kafka meninggal dunia.

Kafka dilaporkan telah memberitahu Brod bahawa tanpa menerbitkan manuskripnya itu tiada siapa akan tahu bahawa beliau adalah seorang penulis.

Hubinger, yang telah mengatur pameran lain di UKM pada tahun 2011, mengupas watak Kafka, dan menggambarkannya  sebagai seorang yang kompleks, pendiam dan kurang bergaul.

Walaupun diperbesarkan dalam golongan kelas pertengahan,  Kafka menulis mengenai keadaan khayalan, fantasi dan seram.

Beliau adalah dari kaum minoriti di tanah airnya sendiri, sebagai seorang Yahudi di negara Kristian. Bahasa ibundanya ialah Jerman walaupun bahasa kebangsaan negaranya ialah Czech, yang beliau juga fasih. Kafka mengembara secara meluas di kawasan-kawasan berbahasa Jerman di Eropah tengah dan barat.

Beliau berkhidmat sepenuh masa sebagai penyiasat di sebuah syarikat insurans dan tidak sanggup menjadi penulis novel sepenuh masa kerana kurang yakin dengan nilai karyanya.

Kafka meninggal dunia akibat penyakit batuk kering dan tidak pernah berkahwin, walaupun menjadi bapa kepada seorang anak luar nikah.