Kebolehpasaran Graduan Berbahasa Melayu Bergantung Pada Penguasaan Inggeris
Oleh Anusha Sandran
Foto Izwan Azman
BANGI, 10 Okt 2013 – Kebolehpasaran graduan berbahasa Melayu masih lagi baik jika mereka tidak abaikan Bahasa Inggeris yang mendominasi dunia korporat dan perniagaan.
Ini dipersetujui dalam suatu wacana Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM di sini hari ini atas tajuk “Kebolehpasaran Graduan Berbahasa Melayu,”.
Pengurus Besar (Hubungan Srategik) Bank Islam Malaysia Bhd, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata kerana itu Bahasa Inggeris sangat diperlukan untuk bekerja dalam sektor swasta.
Beliau berkata ilmu yang dipelajari digunakan di tempat kerja dan bahasa merupakan medium untuk mendapat dan mengaplikasikan ilmu tersebut.
Oleh itu, sesuatu bahasa itu penting dalam mempelajari dan mengaplikasi ilmu.
Sebagai rakyat yang bangga dengan jatidiri Bahasa Kebangsaan, ia perlu dimartabatkan. Bagaimanapun, tanpa kefasihan bahasa Inggeris, mereka akan mendapati sukar untuk mengendalikan urusan-urusan kerja terutamanya dalam dunia perniagaan dan korporat, katanya.
Hj Burhanuddin Md. Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang mengurus produksi kartun animasi terkenal “Upin & Ipin” berkata, “graduan akan menghadapi kesukaran untuk memasarkan diri mereka dalam dunia pekerjaan di negara ini jika mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris”.
Ilmu yang ada akan menjadi sia-sia sahaja kalau tidak bijak menggunakan bahasa untuk menyampaikannya kepada majikan ataupun pelanggan, katanya.
“Dalam siri kartun ‘Upin & Ipin’, kita tidak mencampur- adukkan dengan bahasa Inggeris kecuali untuk perkataan ‘marvellous’ untuk menanam sikap bangga dengan jati diri dalam diri kanak-kanak itu,” ujar beliau.
“Apabila siri Upin dan Ipin dijual di Indonesia, saluran televisyen Indonesia yang hendak menyiarkannya meminta kebenaran untuk menterjemahnya ke dalam bahasa Indonesia, tetapi saya tidak setuju untuk berbuat demikian kerana kelucuan kartun itu akan hilang jika diterjemahkan,” tambah beliau.
Haji Burhanuddin berkata bahasa Inggeris yang dikenali sebagai bahasa global perlu dipelajari untuk memajukan diri di peringkat global.
Prof Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Felo Penyelidik Utama di ATMA, pula berpendapat bahawa 90% kebolehpasaran graduan bergantung pada personaliti, mentaliti dan cara pembawaan diri graduan semasa berada dalam pasaran pekerjaan.
Bagi memiliki kriteria-kriteria tersebut seseorang harus mempunyai penguasaan yang baik terhadap sesuatu bahasa yang dikehendaki oleh sesuatu organisasi, tambah beliau.