Malaysia dan Indonesia Disaran Luaskan Lagi Kerjasama Pendidikan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 27 Okt 2013 – Malaysia dan Indonesia perlu meluaskan lagi kerjasama pendidikan antara mereka untuk membendung sebarang salah faham mengenai budaya serta adat kedua-dua negara.
Rektor Universitas Padjadjaran (UNPAD) Bandung, Prof Ir Dr Ganjar Kurnia berkata kedua-dua negara harus lebih bertimbang rasa antara satu sama lain mengenai budaya Nusantara.
Dalam suatu temu bual dengan Portal Berita UKM selepas dikurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran Pendidikan) dari UKM sempena konvokesyen ke 41 di sini hari ini beliau berkata kedua negara mewarisi budaya Nusantara yang serumpun.
Beliau ditanya mengenai isu siapa yang memiliki budaya dan adat resam yang banyak persamaan antara kedua negara.
Anugerah itu disampaikan untuk menghargai sumbangannya dalam usaha kerjasama pendidikan yang merentasi universiti untuk mendekati masyarakat, membina negara bangsa dan mengeratkan hubungan wilayah dan Nusantara.
Prof Ganjar yakin dengan kesetiakawanan yang telah lama terbina antara UKM dengan Universitas Padjadjaran untuk memajukan bidang akademik disamping menjalin hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Antara kerjasama mereka ialah pelaksanaan Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia (SKIM) yang telah berlansung secara bergilir antara kedua universiti itu selama hampir 30 tahun.
SKIM, katanya, telah mencetus pelbagai perkembangan intensif dalam nuansa akademik bukan sahaja antara kedua-dua universiti malah antara Malaysia dengan Indonesia bahkan dalam arena akademik di Asia Tenggara.
Kekukuhan hubungan itu mendorong laluan kerjasama yang lebih melebar dan bersifat langsung dengan penganjuran UKM-UNPAD dalam bidang perubatan bagi peringkat ijazah pertama yang bermula pada 2006 di Kampus UNPAD di Bandung.
Usaha itu berbaloi dengan UKM menghasilkan doktor-doktor yang berpengalaman menimba ilmu di Indonesia.