Manuskrip Melayu yang Menggemparkan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi dan ihsan SOAS
BANGI, 8 Okt 2013 – Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang dihasilkan lebih seratus tahun lalu untuk seorang bilal masjid, menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.
Penyelidik budaya dan manuskrip Melayu, Dr Farouk Yahya berkata manuskrip itu menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.
Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi The School of Oriental And African Studies (SOAS) di London, Dr Farouk berkata naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.
Wacana dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA).
Dr Farouk, yang membuat penyelidikan di SOAS, berkata gambar-gambar dan rajah yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.
Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah.
Apa yang berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.
Dr Farouk berkata di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera, azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.
Ramai yang meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.
Tambahan pula, penyalinan manuskrip telah ditugaskan oleh seorang pegawai masjid. Ia menunjukkan satu “Syncretism”, ia itu percampuran antara kepercayaan sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.
Dalam wacana beliau, Dr Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.
Apa yang memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah bagaimana manuskrip yang dimiliki orang Islam itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat” orang melalui jampi. Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia hendak dilukis di atas tanah dengan nama simangsa dan ayat-ayat suci Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.
Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak di dera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.
Manuskrip itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Baru, Kelantan yang dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan 1907.Beliau dipercayai bilal di sebuah masjid yang dinamakan masjid raja di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.
Manuskrip itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu. Manuskrip itu kemudiannya sampai ketangan seorang pekerja hospital yang baru ditubuhkan di Kota baru. Nik Ismail telah berkhidmat sebagai kerani gaji dan elaun kerja pada tahun 1918.
Menurut Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.
Namun demikian ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya, mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.
Ketika sesi soal jawab, para akademik dari ATMA dan Fakulti Pengajian Islam UKM yang hadir berasa hairan dengan niat sebenar “orang masjid” yang memesan supaya naskah itu ditulis untuknya.
Dr Farouk, berkata kajiannya hanyalah mengenai gambar dan rajah manuskrip. Beliau tidak pula menilaikan watak atau peribadi pemilik manuskrip itu.
Dr Farouk Yahya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari London School of Economics (LSE), University of London dalam jurusan perakaunan. Beliau juga seorang ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Bagaimana pun, setelah berkhidmat selama empat tahun sebagai akauntan di syarikat muzik di London, Dr Farouk mengambil keputusan untuk mengkaji secara lebih mendalam hobinya, iaitu kesenian Melayu.
Beliau memperolehi ijazah Doktor falsafah dari SOAS dengan tesis bertajuk“ Magic and Divination: The Malay Tradition In Illustrated Manuscripts”.
Selain daripada bertugas sebagai pensyarah sambilan di SOAS, beliau juga adalah penolong kurator pameran Gifts Of Recognition, yang memaparkan pelbagai jenis anugerah dan hadiah tradisional Melayu.
Beliau masih mengekalkan kerakyatan Malaysia tetapi adalah pemastautin tetap di Britain. Ibu Bapanya tinggal di Shah Alam.