Pelajar Dinasihati Siapkan Diri Untuk Hadapi Dunia Luar
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman
BANGI, 22 Sep 2013 – Pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diingatkan supaya mempersiapkan diri untuk menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian mereka.
Mereka juga harus mempunyai kelebihan dari orang lain untuk menonjolkan diri sendiri berbanding dengan graduan lain, kata Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali hari ini.
Beliau memberi peringatan itu ketika berucap kepada para pelajar baru UKM di suatu taklimat mengenai Kursus Kemahiran Insaniah yang mereka harus ikuti.
Pihak pengurusan dan ahli akademik UKM turut memberi keterangan mengenai kursus itu yang mereka perlu ikuti bagi memenuhi syarat kurikulum universiti.
Taklimat itu juga di hadiri Dekan-dekan fakulti, Pengetua-pengetua Kolej Kediaman, Ketua-ketua Institusi dan Jabatan dan staf UKM yang lain yang terlibat dengan kursus itu.
Prof Noor Azlan berkata kursus lapan kredit itu bertujuan membentuk mereka sebagai pakej lengkap setelah tamat pengajian. Melalui kursus itu mereka bukan sahaja akan mempunyai pengetahuan dan intelek tetapi juga kemahiran praktikal dan tingkah laku yang betul untuk melangkah ke alam pekerjaan dan perkhidmatan.
Beliau mengingatkan mereka betapa perlunya menggunakan masa tiga atau empat tahun selama di UKM untuk membentuk diri terbaik bagi menghadapi dunia sebenar setelah lulus.
“Jangan duduk dan membaca buku di dalam kelas sahaja. Keluar dari bilik darjah untuk mencari dan mendekati serta mengenali orang lain serta menerima sentuhan dengan orang ramai. Dapatkan pengalaman dan kemahiran”.
Prof Noor Azlan menasihati mereka menggunakan masa selama tiga atau empat tahun di universiti untuk menimba pengalaman dan ilmu dari pergaulan dengan orang lain.
“Ramai pelajar sekarang boleh memperoleh markah 3.46 atau lebih. Tetapi apa yang boleh memberikan keistimewaan kepada mereka ialah selain dari memperolehi markah baik mereka juga misalnya adalah seorang atlet negara. Ini akan membedakan mereka dari graduan lain”.
Beliau berkata mereka harus tidak terhad sekadar sebagai seorang pelajar yang baik tetapi juga yang mempunyai kebolehan.
Prof Noor Azlan menegaskan bahawa pelajar tidak harus menganggap Kursus Kemahiran Insaniah sebagai beban atau halangan kepada pelajaran mereka, tetapi perlu menyifatkannya sebagai satu lagi subjek untuk kursus yang mereka ambil.
Menjalankan kerja secara ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan melalui Kursus Kemahiran Insaniah akan dapat menyiapkan diri mereka dengan baik untuk menghadapi liku-liku hidup setelah keluar dari universiti, katanya.
Beliau juga menasihati mereka tidak terlalu banyak berfikir mengenai kredit atau berapa jam yang lengkap diberikan untuk mengikuti Kursus Kemahiran Insaniah tetapi harus mengambilnya sebagai suatu nilai murni pengajaran untuk menimba pengalaman.