Penerima Anugerah Diraja: Beri Komitmen Penuh Dalam Semua Aktiviti
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ra’ai Osman
BANGI, 26 Okt 2013 – “Saya sentiasa memberi komitmen 100% dalam semua aktiviti yang saya lakukan kerana saya tidak suka meninggalkan kerja saya separuh jalan.”
Inilah kata-kata penerima Anugerah Diraja, Nurshazweena binti Kamarudin, apabila ditemui Portal Berita UKM selepas Majlis Konvokesyen di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di hari pertamanya hari ini.
Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu, Nurshazweena, 22 tahun, adalah graduan dari Jabatan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Puteri kepada seorang Pegawai Bank bersara dan suri rumah, Nurshazweena berkata pencapaian tinggi dalam pelajaran sentiasa menjadi matlamat utamanya.
“Keutamaan saya adalah pelajaraan saya. Bagaimana pun saya menyertai aktiviti-aktiviti lain seperti kelab dan persatuan di UKM, tetapi tanggungjawab pertama saya adalah pelajaran saya. Saya mendapati bahawa, kiranya peraturan mengikut apa yang diutamakan dan yang terkemudian, pengaturan kehidupan seharian akan menjadi lebih senang,” kata Nurshazweena.
Kasih sayang, sokongan dan harapan yang tinggi dari keluarganya merupakan pendorong baginya untuk menjadi yang terbaik dalam bidang akademik beliau.
Banyak pengorbanan dan halangan yang keluarganya telah hadapi untuk melihat beliau berjaya dan beranggapan Anugerahnya itu adalah hadiah kepada kedua-dua ibu bapanya kerana mereka telah memberikan kekuatan dan bimbingan kepadanya.
Sepanjang tiga tahun beliau di UKM para pensyarah dan rakan-rakan beliau juga telah berperanan membantunya mencapai kejayaannya itu.
Anugerah itu tidak mungkin diperolehinya tanpa pensyarah-pensyarahnya di FSSK yang telah banyak membimbing dan membantu membentuk dan membina dirinya dari segi keyakinan, kemahiran dan dalam pengajian akademik.
“Apabila saya menerima surat daripada UKM mengatakan saya telah dipilih untuk menerima anugerah ini, saya begitu terkejut dan teruja. Saya telah melalui proses temuduga dan tidak terfikir saya akan menang, kerana semua calon-calon lain bagus belaka,” kata Nurshazween.
Ibu bapanya yang telah membaca surat pengumuman itu dahulu sebelum memberitahunya. “Kami semua di rumah dan kami sangat teruja dan terharu dengan berita itu, ibu bapa saya mengucapkan tahniah kepada saya dan berkata betapa bangganya mereka terhadap pencapaian saya,” kata Nurshazweena.
Beliau menyebut penyertaannya dalam Forum Belia Dunia pada tahun 2012 di Hong Kong sebagai suatu kenangan paling menyerlah baginya semasa berada di UKM. Beliau dihantar ke Hong Kong untuk membentangkan poster dan pembentangan beliau menerima sambutan menggalakkan.
“Bukan sahaja saya dapat mewakili fakulti dan universiti, tetapi saya juga telah dihantar ke sana sebagai wakil Malaysia. Untuk mewakili negara di pentas dunia adalah satu perasaan yang luar biasa, ia adalah detik yang amat gembira dan bangga untuk saya,” katanya.
“UKM adalah seperti rumah kedua saya dan dalam tempoh tiga tahun berada di sini, saya tidak meninggalkan UKM dengan hanya pengetahuan tetapi juga dengan pengalaman yang indah yang akan di bawa mati,” kata Nurshazweena.