Tuanku Muhriz Berbangga UKM Berjaya Laksana Programnya
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 26 Okt 2013 – Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir berbangga dengan kebolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan program inovasi dan penciptaan di peringkat pra-siswazah dan pasca-siswazah.
Canselor UKM itu memberi tahniah kepada pimpinan dan keseluruhan warga universiti yang telah berganding bahu menyerlahkan namanya menerusi pelbagai kejayaan, jaringan dan kepakaran bertaraf dunia.
Bertitah di Majlis Konvokesyen ke 41 UKM di sini hari ini, baginda menggesa supaya usaha rekacipta dan inovasi ditingkatkan lagi bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran, khasnya di peringkat antarabangsa.
Tuanku Muhriz bertitah usaha demikian itu harus dianggap sebagai persediaan bagi menghasilkan graduan-graduan yang mampu bersaing dengan sarjanawan dan penyelidik negara lain.
“Maka UKM harus terus cipta kaedah-kaedah baru dan penemuan baru,” titah baginda yang juga Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ini bukan semata-mata untuk penarafan universiti yang dilakukan oleh agensi antarabangsa tetapi sebagai usaha bersama kerajaan untuk memperbaiki taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan lagi persaingan.
Negara perlukan rakyat yang kreatif dan berinovasi dalam bidang industri dan teknologi tinggi, titah baginda.
Baginda gembira kerana Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin menerajui Persatuan Universiti-universiti Asia Pacifik yang mempunyai 200 buah universiti sebagai ahli sejak bulan Disember 2012.
Hasil titik peluh semua warganya, UKM telah berjaya mengekalkan status sebagai universiti penyelidikan selama tujuh tahun berturut-turut. UKM juga telah menyahut aspirasi Pelan Transformasi Negara yang menuntut universiti penyelidikan membina budaya inovasi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial ke arah membina negara maju berpendapatan tinggi.
Warga UKM khasnya para siswazah harus tidak berpuas hati dengan pencapaian mereka setakat ini tetapi tetap terus berusaha gigih mencapai kejayaan.
Baginda mengingkatkan graduan yang menerima watikah kelulusan mereka dalam upacara konvokesyen hingga Selasa depan ini supaya sentiasa mengenangkan budi universiti apabila sudah berkhidmat dalam pelbagai bidang nanti.